Al-Imam Al-Syafie tolak hadis sahih? - Utusan Malaysia

Al-Imam Al-Syafie tolak hadis sahih?

Menurut Imam Syafie bersentuhan kulit antara Rasulullah SAW dan Saidatina Aisyah semasa baginda solat malam adalah dengan berlapik sekali gus tidak membatalkan wuduk baginda. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antara perkara yang sering menjadi igauan para pengikut mazhab al-Imam al-Syafie adalah dakwaan bahawa pandangan al-Imam al-Syafie dalam masalah begian-begian tidak boleh diikuti.

Ini kerana pandangan beliau bercanggah dengan hadis-hadis sahih.

Lalu mereka cuba menjelaskan kepada kita untuk berpegang dengan hadis-hadis sahih dan menolak pandangan al-Imam al-Syafie yang bertentangan dengan hadis. Sebabnya dalil kita adalah hadis Rasulullah SAW dan bukannya pandangan al-Imam al-Syafie.

Kumpulan ini juga menyatakan sikap untuk terus berpegang dengan pandangan al-Imam al-Syafie sekalipun jelas percanggahannya dengan hadis yang sahih adalah bukti ketaksuban secara membabi buta kepada tokoh tersebut.

YANG LAYAK KELUAR HUKUM

Masyarakat perlu maklum orang yang layak meneliti hukum daripada dalil-dalil syarak seperti al-Quran, al-Sunnah, al-Ijmak dan al-Qias hanyalah yang pakar fikah.

Mereka ini termasuklah al-Imam al-Syafie dan tiga lagi imam mazhab.

Selaku orang awam, kita wajib memberi kepercayaan kepada golongan pakar dalam ilmu fikah. Seterusnya berpegang teguh kepada pandangan mereka yang sebenarnya adalah hasil akhir kajian terperinci mereka terhadap dalil-dalil syarak.

Dengan berpegang teguh kepada pandangan al-Imam al-Syafie contohnya, kita sebenarnya berpegang dengan kehendak syarak menerusi kefahaman al-Imam al-Syafie.

MAZHAB IMAM AL-SYAFIE

Apabila kita menyatakan: “Ini adalah mazhab al-Imam al-Syafie” ini bermaksud: “Ini adalah kefahaman akhir al-Imam al-Syafie terhadap hukum-hakam fikah. Ini setelah beliau mengkaji dan meneliti dalil-dalil syarak yang berkaitan dengan fikah”.

Maksudnya, apabila al-Imam al-Syafie menyatakan menyentuh tubuh isteri tanpa berlapik membatalkan wuduk si suami yang menyentuh dan juga si isteri yang disentuh, pandangan ini adalah hasil kajian beliau terhadap seluruh dalil fikah yang berkaitan isu persentuhan lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Maka secara tidak langsung, apabila kita menemui hadis-hadis sahih yang menunjukkan seolah-olah persentuhan suami isteri tidak membatalkan wuduk, kita akan menyedari bahawa hadis-hadis tersebut sebenarnya sudah dikaji secara serius oleh al-Imam al-Syafie.

Namun setelah beliau meneliti dalil-dalil yang lain, beliau berpandangan bahawa hadis-hadis itu sebenarnya selari dengan kenyataannya.

BERCANGGAH DENGAN DALIL

Para fuqaha dalam mazhab al-Imam al-Syafie banyak menulis mengenai dalil-dalil yang menjadi sandaran dalam mazhab fikah beliau.

Saya membawa satu contoh sahaja yang secara kasar menunjukkan kononnya pandangan al-Imam al-Syafie bercanggah dengan hadis. Namun setelah diteliti, sebenarnya ia tidak bercanggah.

Umum mengetahui menurut mazhab al-Imam al-Syafie, menyentuh isteri tanpa lapik membatalkan wuduk tidak kira sama ada persentuhan itu secara bersyahwat atau tidak.

Jika kita meneliti hadis-hadis Nabi SAW, kita akan menjumpai kisah Rasulullah SAW menunaikan solat malam dalam keadaan isteri baginda iaitu Saidatina Aisyah sedang tidur di hadapan baginda.

Ketika Rasulullah SAW ingin sujud, baginda terpaksa menguis kaki Aisyah yang tidur agar beliau mengangkat sedikit kaki supaya baginda ada ruang untuk bersujud.

Ini berlaku kerana rumah Nabi SAW adalah kecil sehingga apabila Aisyah melunjurkan kaki ketika tidur malam, tidak ada lagi ruang untuk Rasulullah SAW meletakkan dahi baginda yang mulia ketika baginda mendirikan solat.

Sekali imbas, kita akan kehairanan kerana berlaku persentuhan antara Rasulullah SAW dengan kaki Aisyah dalam keadaan baginda meneruskan solat malam baginda. Walhal al-Imam al-Syafie pula berpandangan, persentuhan kulit antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram akan membatalkan wuduk.

Bagi yang tergesa-gesa, mereka akan beranggapan pandangan al-Imam al-Syafie ini bercanggah dengan tindakan Nabi SAW yang tidak memberhentikan solat setelah baginda menguis kaki Aisyah.

Namun bagi yang mengetahui konsep mazhab fikah, mereka akan berpandangan semestinya al-Imam al-Syafie telah meneliti hadis ini dalam keadaan beliau juga meneliti dalil lain yang seakan-akan bersalahan dengan hadis ini.

Apabila merujuk kitab-kitab mazhab al-Imam al-Syafie, kita akan menemui dalil beliau dalam isu ini adalah ayat ke-6 surah al-Maidah.

Ayat ini menyatakan perkara-perkara yang membatalkan wuduk yang antaranya adalah persentuhan antara lelaki dan wanita.

Maka ayat ini bagi beliau adalah dalil wuduk batal apabila berlaku persentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Namun ayat ini juga seakan-akan bercanggah dengan tindakan Nabi SAW yang menguis kaki Aisyah sedangkan baginda meneruskan solat malam baginda yang menunjukkan wuduk tidak batal.

Apabila para fuqaha dapati berlaku seakan-akan pertembungan dalil, mereka cuba mencari penyelesaian untuk memesrakan dua dalil yang seakan-akan bertembung antara satu sama lain.

Ini kerana hakikatnya tidak akan berlaku pertembungan di antara dua ayat al-Quran, dua hadis Rasulullah SAW dan ayat al-Quran dengan hadis baginda.

Akhirnya setelah al-Imam al-Syafie meneliti dua dalil ini, beliau membuat kesimpulan bahawa ayat 6 surah al-Maidah ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa persentuhan tanpa lapik antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram akan membatalkan wuduk.

Apa yang berlaku antara Rasulullah SAW dengan Aisyah, al-Imam al-Syafie berpandangan Nabi SAW menguis kaki Aisyah secara berlapik. Ini kerana kebiasaannya orang yang tidur akan menyelimuti kaki dan jasadnya daripada kesejukan.

Maka berpegang dengan kefahaman para fuqaha seperti al-Imam al-Syafie adalah berpegang dengan dalil-dalil syarak.

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×