Said Hawwa: Mudahkan pemahaman al-Quran - Utusan Malaysia

Said Hawwa: Mudahkan pemahaman al-Quran

SAID HAWWA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Said Hawwa adalah seorang tokoh al-Quran yang menghasilkan sebuah kitab Tafsir yang diberi nama al-Asas Fi al-Tafsir. Beliau dilahirkan pada 27 September 1935 di daerah Hamat, Syria.

Ayahnya seorang yang berpengaruh dalam masyarakat dan salah seorang yang aktif melawan penjajahan Perancis ketika itu.

Semasa usianya dua tahun, ibunya meninggal dunia. Neneknya mengambil tanggungjawab menjaga dan memberi tarbiah kepada beliau bersama-sama ayahnya.

Peringkat permulaan pengajian, beliau menunjukkan kewibawaan dalam akademik dan mempunyai bakat yang tinggi dalam pidato. Hobinya membaca dan melakukan kajian ilmu walaupun usia masih terlalu muda.

Pada tahun 1956, Said Hawwa mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di Univeristi Damsyiq. Dalam tempoh pengajian di sana beliau telah mengambil ilmu daripada sekumpulan ulama Syam yang terkenal.

Gurunya yang terkehadapan dalam ilmu ialah Sheikh Mustafa al-Sibaie, Sheikh Mustafa al-Zarqa, Sheikh Fauzi Faidhu Allah dan lain-lain. Pada 1961, Said Hawa berjaya memperolehi ijazah sarjana muda perundangan Islam.

Pada tahun 1966, Said Hawwa bermusafir ke Arab Saudi dan berkhidmat sebagai guru untuk subjek bahasa arab dan tarbiah Islamiah. Selepas empat tahun berkhidmat, beliau kembali ke Syria dan mengajar selama tiga tahun.

Pada 1973, Said Hawwa terlibat dalam gerakan untuk mengubah perlembagaan Syria kepada bentuk Islam. Oleh sebab itu beliau ditangkap dan dihukum penjara selama lima tahun.

AL-ASAS FI AL-TAFSIR

Said Hawwa menulis kitab tafsir ini semasa berada dalam penjara. Sama seperti yang berlaku kepada beberapa tokoh tafsir yang lain seperti Sayyid Qutb dan Hamka. Mereka dihukum penjara dalam tempoh yang lama dan telah mengambil peluang menulis kitab tafsir.

Walaupun tubuh mereka dikurung dalam jeriji besi yang terhalang pergerakan namun jiwa mereka bebas dan akal mereka berfikiran besar, terbuka menulis tafsir tanpa rasa tertekan sehingga dapat menghasilkan kitab tafsir yang tinggi mutunya dan menjadi rujukan hingga hari ini.

 

KITAB al-Asas Fi Al-Tafsir yang dikarang oleh Said Hawwa semasa dihukum penjara.

Dalam pendahuluan kitab al-Asas Fi al-Tafsir, Said Hawwa menggariskan beberapa perkara penting berkaitan kefahaman terhadap al-Quran, kefahaman terhadap sunnah dan prinsip kaedah memahami ilmu serta kadah memahami nas.

Beliau berkata, ramai ulama menaikkan perbahasan hubungan antara semua ayat al-Quran dalam sesuatu surah dan hubungan semua surah dengan hubungan yang kukuh.

Perkara ini dibincang para ulama tafsir kerana masyarakat banyak bertanya apakah hubungan antara sesuatu ayat al-Quran dengan ayat berikutnya. Dan persoalan apakah bentuk hubungan sesuatu surah dengan surah berikutnya. Selain itu mereka juga persoalkan apakah rahsia hubungan antara surah.

Said Hawwa mengulas bahawa tajuk seperti ini perlu diambil tanggungjawab dan menjadi satu kewajipan menjawabnya. Dan Allah memberi anugerah kepadanya untuk melengkapkan jawapan kepada persoalan tersebut dan mampu mengesahkan banyak kekeliruan dalam perkara ini serta menambah banyak perkara yang belum pernah dibuat oleh ulama sebelumnya.

Pada zaman Said Hawwa berlaku banyak perkembangan ilmu yang membawa kepada tuntutan untuk memahami nas dalam bentuk baru atau perlu menjernihkan kefahaman lama. Perkembangan ilmu ini dan yang berkaitan dengannya menyebabkan timbul banyak persoalan terhadap makna al-Quran.

Dalam menghadapi cabaran ini, beliau menjawab dengan tuntas bahawa mesti menyelesaikan perkara ini dengan melihat kepada al-Quran yang telah menjawab segala permasalahan tersebut.

Dalam kitab al-Asas Fi al-Tafsir di bahagian tafsir, beliau menjawab semua permasalahan dengan membawa nas dan hujah serta kajian moden dengan kemampuan yang dimilikinya.

Permasalahan besar yang berlaku dalam kalangan umat Islam ialah menjauhkan diri daripada al-Quran. Mereka juga tidak patuh dan taat dengan ajaran al-Quran.

Dalam hal ini, Said Hawwa memberi mesej yang jelas supaya pihak pendakwah perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan umat Islam kepada al-Quran sehingga masyarakat berasa al-Quran wujud secara jelas dalam kehidupan mereka.

Muslim pada masa ini mahukan satu jawapan yang tuntas, ringkas dengan dalil dalam semua perkara. Sedangkan kitab-kitab utama tafsir memuatkan banyak riwayat, banyak pandangan dan perbahasan yang amat panjang. Justeru perlu ada satu usaha untuk meringkaskan supaya memudahkan muslim memahami kitab Allah.

Said Hawwa mengambil cabaran ini dengan melihat ia sebagai satu keperluan untuk memberi kefahaman nas al-Quran secara mudah.

Dalam menulis al-Asas Fi al-Tafsir, beliau berkata, sudah menjadi keazaman ahli tafsir berusaha kuat untuk mencapai tafsiran yang terbaik walaupun terpaksa membaca dan merujuk ratusan halaman bagi menjawab satu persoalan yang kecil.

Disebabkan semasa menulis tafsir ini beliau dipenjara justeru rujukan beliau pada mula penulisan terbatas kepada dua kitab tafsir utama iaitu Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir Nasafi.

Kaedah Tafsir Ibn Kathir adalah bi ma’thur dan Tafsir Nasafi pula banyak membicarakan jawapan tuntas isu berkaitan akidah dan mazhab. Said Hawwa telah cuba merumuskan dua tafsir ini untuk menghurai makna ayat al-Quran dengan sempurna di samping memastikan tercapai matlamat untuk mentafsir al-Quran.

Di awal pentafsiran, Said Hawwa juga memberi jaminan bahawa tafsir al-Asas Fi Tafsir ini adalah ringkasan yang terbaik daripada Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir Nasafi dan juga kesimpulan kedua-dua tafsir tersebut. Di samping tu beliau tidak memuatkan dalam tafsirnya apa yang tidak selari dari objektif tafsirnya.

Beliau memberi pandangan terhadap usaha ramai orang yang cuba memahami dengan baik Tafsir Ibn Kathir tetapi beliau melihat usaha ini tidak berjaya kerana keistimewaan ilmu Ibn Kathir yang luas dan tahap mereka yang hendak memahami tafsirnya berada di peringkat yang rendah.

Oleh sebab itu beliau cuba menolong dengan membuat kesimpulan Tafsir Ibn Kathir berkaitan makna secara umum dan manfaat yang boleh disimpul supaya secara tidak langsung pembaca merasa tenang tanpa jemu dapat manfaat daripada Tafsir Ibn Kathir.

Walaupun Said Hawwa banyak merujuk kepada Tafsir Ibn Kathir, tetapi pada akhir pendahuluan kitabnya, beliau menegaskan bahawa bukanlah kitabnya al-Asas Fi al-Tafasir ini kesimpulan daripada Tafsir Ibn Kathir atau Tafsir Nasafi.

Beliau tidak juga mendakwa al-Asas Fi al-Tafsir adalah lebih baik dari kedua-duanya, tetapi tafsir ini ada kelainan yang tersendiri dan telah mencapai matlamat tafsir yang dikehendaki penulisnya.

Said Hawwa meninggal dunia pada 1989 ketika berusia 53 tahun. Beliau meninggalkan banyak karya yang tinggi nilai akademiknya. Semoga manfaat ilmu yang ditinggalkan menjadi panduan kepada kita.

  • PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×