CERIA, indah dan tenang. Itu suasana terbaharu di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis yang berubah wajah selepas melalui proses pengindahan termasuk rumah-rumah penduduk di kawasan perkampungan nelayan berkenaan yang berwarna-warni.
Malah, suasana di lorong-lorong kawasan berkenaan yang menarik dengan pelbagai hiasan selain tersergam indah Jambatan Tuanku Syed Putra di situ, menjadikan perkampungan tersebut kini sebagai salah satu tarikan baharu pelancongan di negeri ini.
Jambatan ikonik sejak tahun 1961 itu menghubungkan penduduk dari dua buah kampung iaitu Kampung Seberang Tok Pi dan Seberang Ramai dengan pemandangan dari atas jambatan tersebut cukup memukau.

Perkampungan Seberang Ramai yang merangkumi tujuh buah kampung iaitu Kampung Tengah; Kampung Hujung Tanjung; Kampung Seberang Jaya; Kampung Tandiap; Kampung Seberang Alor; Kampung Baru Seberang dan Kampung Pulau Ketam dengan penduduk sekitar 4,000 orang.
Perkampungan berkenaan yang difahamkan wujud sejak awal tahun 1920-an itu melibatkan enam laluan dengan penduduk satu ketika dahulu hanya menggunakan titi kayu yang menghubungkan antara rumah ke rumah.

Namun, siapa sangka, perkampungan tersebut yang dahulunya lesu kini sudah berubah wajah dan ia adalah hasil cetusan idea Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang mahu melihat tranformasi di perkampungan itu selain bertujuan menjadikannya sebagai contoh kepada masyarakat setempat.
Inisiatif fasa pertama program pengindahan di kampung itu difahamkan siap pada Januari lalu dengan aktiviti penambahbaikan dan pengindahan yang dilaksanakan itu ialah dengan mengecat rumah dan mencantikkan laluan serta lorong berkonsepkan 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) selain dipasang papan-papan tanda mengenai kempen kesedaran awam.
Projek pengindahan tersebut dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri dan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan selain dibantu para sukarelawan serta masyarakat setempat.
Pelaksanaan bagi fasa pertama program transformasi Kampung Seberang Ramai yang dimulakan sejak pertengahan Disember lalu itu adalah sebagai usaha dalam membantu komuniti melaksanakan perubahan positif dalam kehidupan masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor memberitahu, pihaknya dengan kerjasama pelbagai agensi telah melaksanakan program pengindahan tersebut termasuk kerja-kerja mengecat 61 buah rumah penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, keprihatinan Tuanku Syed Faizuddin terzahir dan terampil dalam usaha untuk mempertingkatkan nilai kebersihan keceriaan dalam kalangan seluruh rakyat.
“Seterusnya Tuanku Syed Faizuddin memperkenankan untuk dilaksanakan transformasi menyeluruh di Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis ini dengan pelbagai pihak turut tampil bekerjasama dalam usaha menceriakan kampung tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pembantu Penyelaras Pusat Khidmat Menteri Besar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis, Kamarudin Malek berkata, proses pengindahan tersebut dilakukan mengikut fasa dengan yang pertama melibatkan 61 rumah di laluan pertama.
“Alhamdulilah, inisiatif tersebut berjaya merubah wajah perkampungan tersebut menjadi lebih ceria. Malah, penduduk juga mula menitik beratkan aspek menjaga kebersihan di kawasan berkenaan.
PENDUDUK TERUJA KAMPUNG TAMBAH BERSERI
Mohd. Hafizi Johari, 37, yang bekerja di Pulau Langkawi, Kedah cukup teruja selepas melihat perubahan di perkampungan tersebut.

Katanya, berbanding dahulu, suasana di Kampung Seberang Ramai kini cukup ceria dengan rumah yang berwarna-warni selain keindahan jambatan di kawasan berkenaan.
Jelasnya, suasana baharu di kawasan tersebut secara tidak langsung turut memberi motivasi kepada penduduk bagi menjaga dan mengekalkan keindahan di kampung mereka.
“Saya ketika pulang bercuti di kampung sebelum ini cukup terkejut melihat kampung kami sudah berubah wajah. Kampung ini sekarang nampak cukup ceria.
“Berikutan itu, kampung ini juga mula menjadi tumpuan pelancong dan boleh dikatakan Seberang Ramai kini menjadi antara perkampungan nelayan paling cantik,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Seterusnya dia berharap penduduk setempat mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama menjaga kebersihan di tahap yang paling tinggi di kawasan berkenaan.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Noor Fandhar, 37, pula berkata, inisiatif pengindahan perkampungan nelayan ini cukup baik dan dalam masa sama boleh membantu merancakkan ekonomi penduduk setempat.

“Apabila pelancong dan orang ramai datang, secara tidak langsung para peniaga di kawasan ini mampu menjana lebih pendapatan selain nelayan-nelayan juga boleh menjual hasil-hasil laut mereka.
“Siapa sangka kawasan perkampungan nelayan ini sudah berubah wajah dan suasananya cukup ceria dan cantik,” katanya.











