Perikatan Nasional rombak Kabinet? - Utusan Malaysia

Perikatan Nasional rombak Kabinet?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesyuarat Maj­lis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Putrajaya petang semalam dipercayai telah memutuskan untuk merombak Kabinet dalam masa terdekat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, rom­bakan itu berikutan ke­­putusan UMNO yang menamatkan kerjasama dengan parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Kata sumber, tindakan itu ju­ga menjadi ‘bola tanggung’ supaya UMNO menarik balik keputusan penarikan kerjasama dengan Bersatu, sekali gus meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Rombakan Kabinet akan dibuat dalam masa terdekat, itu akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Memang ia jadi strategi Bersatu supaya UMNO tarik balik kenyataan tolak Bersatu dan teruskan kerjasama de­ngan PN,” katanya.

UMNO pada 26 Februari lalu menghantar surat secara rasmi kepada Muhyiddin untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Ia hasil keputusan mesyua­rat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, sumber berkata, keputusan merombak Kabinet adalah cadangan daripada MPT Bersatu itu sendiri.

Namun, rombakan tersebut mungkin tidak akan berlaku sekiranya UMNO berpatah balik dan meneruskan kerjasama antara kedua-dua parti itu.

“Sekarang terpulang kepada UMNO, sama ada mereka nak tarik balik keputusan atau tidak. Kalau UMNO masih lagi dengan kenyataan mereka, kita boleh fikir apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya.

Muhyiddin yang tiba pukul 4.32 petang semalam di sebuah hotel di Putrajaya telah mempengerusikan mesyuarat Ahli MPT Bersatu.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Pre­siden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azu­mu dan naib-naib presiden termasuk Datuk Seri Dr. Ro­nald Kiandee, Datuk Dr. Radzi Jidin serta Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen.

Hadir sama ialah Ketua Pe­nerangan, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Antara Ahli Majlis Tertinggi lain yang turut kelihatan ialah Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Sehingga pukul 9.30 malam tadi tiada kenyataan yang dikeluarkan Bersatu berhubung keputusan mesyuarat MPT parti itu.

Mesyuarat MPT itu disusuli mesyuarat Pengurusan Bersatu yang akan memuktamadkan keputusan berhubung rombakan Kabinet berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN