“Emak, ayah kami sudah terlanjur, apa perlu kami buat?" - Utusan Malaysia

“Emak, ayah kami sudah terlanjur, apa perlu kami buat?”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Emak, saya mengan­dung.” “Emak, saya dah buat anak orang mengandung.”

“Emak, ayah kami sudah terlanjur, apa perlu kami buat?

Ini antara persoalan-persoalan sering dikaitkan dengan kehamilan tidak terancang atau hamil luar nikah dalam kalangan remaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Statistik penyelidikan menunjukkan purata 18,000 gadis belasan tahun di Malaysia mengandung setiap tahun. Daripada jumlah itu, 25 peratus atau 4,500 kes melibatkan kehamilan luar nikah.

Stigma dan diskriminasi negatif seperti tidak bermoral, sering menghantui remaja hamil bawah usia. Budaya dan agama menghalang daripada masyarakat menerima insiden berkenaan.

Malah, ahli keluarga juga sering menyisihkan remaja hamil, menyebabkan mereka hilang sokongan dan perlindungan yang diperlukan.

Justeru, bukan luar biasa remaja yang terjerumus ke dalam gejala ini lebih cenderung mengambil tindakan berisiko seperti menggugurkan kandungan, menyembunyikan proses kehamilan, menyerahkan anak kepada orang lain atau melakukan jenayah seperti membuang bayi.

Aktivis sosial, Azmiza Mamat berkata, keluarga memainkan peranan penting membantu gadis bawah usia yang hamil akibat dirogol.

Katanya, sekiranya remaja perempuan cuba memberitahu dia hamil, seorang emak yang mendengar luahan anak itu memerlukan kekuatan.

“Ibu bapa tidak perlu menyokong atau mendampingi anak mereka. Malangnya kebanyakan kes di luar bandar, ia dipandang serong lebih-lebih lagi kalau keluarga mangsa membuat laporan polis.

“Ia boleh mencetuskan kebimbangan, hidup dalam keadaan aib dan pelbagai cemuhan dan tanggapan masyarakat, di mana mereka sering terbayangkan situasi mahkamah seperti dalam drama dan anak-anak berada dalam emosi tidak stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Coffee Talk with FAME bertajuk ‘Mak, saya mengandung’ anjuran Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga (FAME).

Selain Azmiza, rancangan itu turut menampil aktivitis sosial, Syed Azmi Alhabshi sebagai panel.

Panel rancangan Coffee Talk with FAME bertajuk ‘Mak, saya mengandung’ anjuran Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga (FAME). UTUSAN/RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

 

Justeru Azmiza berkata, masyarakat perlu tahu adanya akta kanak-kanak yang melindungi remaja, terutama yang melibatkan kes mahkamah.

Ini dapat membantu merungkaikan cabaran keluarga terutama mereka yang ingin membuat laporan polis melibatkan jenayah seksual.

Berkongis pengalaman di Kelantan, kata Azmiza, kes melibatkan jenayah seksual kanak-kanak meningkat pada 2020 berbanding 2019.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kes makin meningkat bila anak-anak tinggal di rumah dan ramai dalam satu rumah. Mereka berisiko berdepan jenayah seksual,” katanya.

BERKAHWIN

Mengenai langkah mengahwinkan remaja terlanjur sebagai jalan terbaik, Azmiza tidak bersetuju, terutama apabila membabitkan kes rogol.

“Saya pernah berhadapan dengan kes rogol dan keluarga pelaku ingin menawarkan tutup kes dan berkahwin. Saya tanyakan mangsa, mahu tak berkahwin?

“Mangsa yang tidak tahu dia mengandung, diam dan terus menangis. Justeru, tidak boleh ada unsur paksaan,” katanya.

Pada masa sama, Azmiza mengingatkan gadis untuk tidak mudah percaya kepada lelaki.

“Belajar untuk tidak mudah percayakan lelaki lebih-lebih lagi yang mahukan bukti cinta dengan menyerah diri.

“Sayangi diri sendiri dulu. Kita perlu didik remaja tentang hak, membina potensi dan bagaimana berdepan cabaran di luar sana,” katanya.

UNICEF mendedahkan remaja berusia 15 hingga 19 tahun mempunyai risiko dua kali ganda untuk mati ketika melahirkan anak berbanding wanita berusia 20 tahun ke atas.

KEPUTUSAN

Remaja bawah umur yang hamil luar nikah perlu berkahwin atau membuat laporan polis?

Syed Azmi berkata, dalam situasi berkenaan, beliau akan bertanya ibu bapa sama ada sudah berbincang dengan anak atau belum.

“Jika kes hamil melibatkan remaja bawah 16 tahun, buatlah laporan polis kerana ia dikategorikan rogol. Sebagai penasihat mahkamah, kami akan berjumpa lelaki atau pelaku. Dalam kebanyakan kes, kami dapati remaja suka sama suka.

“Jika mangsa mahu si pelaku masuk penjara tiada masalah untuk mangsa bawah 16 tahun membuat laporan polis.

“Tetapi saya nasihatkan wanita bawah umur ini sekiranya lelaki berjanji berubah dan mahu menjaga wanita tersebut agar jangan percaya kerana pada pengalaman saya, perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak lelaki menghormati wanita. Dengan itu, mereka tahu seks tanpa nikah itu satu kesalahan kerana tidak menghormati wanita.

HAMIL BAWAH UMUR TINGKATKAN RISIKO KESIHATAN

Kehamilan pada usia remaja mengundang risiko kesihatan termasuk kematian dengan lima kali ganda berbanding wanita dewasa.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mende­dahkan, remaja berusia 15 hingga 19 tahun mem­punyai risiko dua kali ganda mati ketika melahirkan, berbanding wanita berusia 20 tahun ke atas.

Remaja bawah usia 15 tahun pula mempunyai risiko kematian lima kali ganda berbanding wanita berusia 20 tahun ke atas.

Azmiza berkata, dalam hal ini, ibu bapa perlu memahami dan memberi sokongan termasuk menggalakkan remaja bersalin di hospital.

“Jangan biarkan mereka bersalin sendiri tanpa memikirkan risiko. Keraplah berjumpa doktor. Apa yang berlaku, mereka takut dan tidak bercerita dengan sesiapa. Jadi, mereka terpaksa bersalin sendiri,” ujarnya yang berkata kehamilan tidak selamat memungkinkan remaja melakukan jenayah lain termasuk gugurkan kandungan, jual bayi atau buang bayi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini