Menanti PM wanita pertama - Utusan Malaysia

Menanti PM wanita pertama

WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADAKAH golongan wanita di negara ini boleh dianggap berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki? Ini disebabkan isu hak sama rata atau kesaksamaan gender sering menjadi perdebatan dalam pelbagai forum sama ada di peringkat nasional, antarabangsa mahupun dunia maya.

Dalam konteks Malaysia, dasar mewujudkan pembuat keputusan dalam kalangan wanita di sektor awam sebanyak 30 peratus telah melebihi sasaran.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun, sebanyak 37.3 peratus kaum hawa berjaya menjadi pembuat keputusan dalam sektor awam. Namun, katanya, di sektor swasta hanya 17.2 peratus dalam 937 syarikat.

Statistik yang dinyatakan itu terkandung dalam ucapan beliau sempena sambutan Hari Wanita 2021 secara maya, baru-baru ini. Apa yang menarik, dalam ucapan sama, Rina turut mencadangkan diwujudkan bank dan institusi pengajian tinggi untuk wanita.

Dengan wujudnya dua institusi khusus untuk wanita tersebut, ia mampu membawa agenda memperkasa wanita lebih jauh sekali gus membangun potensi golongan muda sebagai peneraju negara.

Soalnya, adakah penubuhan dua institusi khusus berkenaan mampu melahirkan pembuat keputusan pada masa depan terutama melibatkan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan atau Perdana Menteri wanita pertama di negara ini?

TPM WANITA

Sebelum ini, kita sempat juga memiliki Timbalan Perdana Menteri wanita pertama, iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Selagi universiti dan bank untuk wanita yang disebut menteri itu belum diwujudkan, kita ambil sikap tunggu dan lihat sama ada dua entiti tersebut mampu pergi jauh atau sekadar tinggal cadangan kerana ia tidak berpeluang diperdebatkan berikutan tiada sidang Parlimen pada masa ini.

Dalam pada itu, terlanjur membicarakan soal peranan wanita sebagai pembuat keputusan, wajar juga peranan wanita dalam bidang politik dibicarakan. Tanpa kekuatan pemimpin wanita di peringkat Parlimen, sudah pasti agenda kaum hawa menghadapi masalah di peringkat dasar.

Apapun percaturan politik kepartian mahupun dasar Kerajaan Pusat, golongan wanita sememangnya memainkan peranan besar di belakang lelaki.

Walaupun wanita pada dasarnya di peringkat nasional dilihat terampil dan cemerlang di sektor-sektor ekonomi, sosial dan politik serta ‘dilayan’ tanpa ada unsur memilih gender, sesungguhnya mereka tetap ibu, isteri, kakak, adik mahupun kekasih yang menyerikan hidup seorang lelaki mahupun wanita.

Lebih-lebih lagi wanita adalah pembuat keputusan terbaik untuk balik kampung pada Hari Raya Aidilfitri pertama yang masih didominasi golongan tersebut mengikut statistik tidak rasmi!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN