Apabila meningkat usia sudah tentu banyak perubahan dapat dirasai. Terutamanya dari segi fungsi tubuh badan yang kian lemah dan berkurangan.
Hal ini kerana, proses penuaan manusia disertai dengan kemerosotan fungsi otot, prestasi, kehilangan jisim otot rangka dan kekuatan.
Oleh yang demikian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tampil dengan inovasi makanan tambahan Pracampuran Puding Jeli tinggi protein untuk membekalkan protein mencukupi kepada warga emas.
Puding berkenaan berasaskan ubi dan sayur-sayuran telah diformulasikan secara khusus mengandungi 10 gram (g) protein bagi setiap 100g pracampuran.
Menurut Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Sains Teknologi Makanan, MARDI, Dr. Khairunizah Hazila Khalid, pengambilan tiga sachet puding jeli tinggi protein ini sehari dapat memenuhi saranan pengambilan protein yang disyorkan oleh pakar.
“Melalui penyelidikan ini kita dah kaji pengambilan protein dalam kalangan rakyat Malaysia memang tidak mencukupi setiap hari. Sepatutnya mengikut saranan antarabangsa tubuh memerlukan protein sebanyak 0.8 gram per hari per berat badan.
“Jadi dengan adanya makanan tambahan sebegini memudahkan pengambilan protein diambil setiap hari agar dapat memelihara otot badan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran produk berkenaan di MARDI baru-baru ini.
Tambahnya, produk berkenaan, bukan sahaja enak dijadikan sebagai santapan pemanis mulut, malah ia dapat membekalkan protein secukupnya agar berat otot dapat meningkat dengan baik.

“Kita dah kaji juga sekiranya cukup pengambilan protein menggunakan produk ini selama empat minggu dapat menambahkan berat otot,” ujarnya lagi.
Ia berdasarkan ujian klinikal yang dijalankan terhadap tikus tua. Berat relatif tikus tua yang dirawat dengan produk berkenaan meningkat secara signifikan berbanding kumpulan kawalan.
Produk tempatan
Jika dilihat pada masa kini, kebanyakan makanan berfungsi atau berkhasiat kebanyakan diimport daripada pasaran luar bagi memenuhi keperluan pemakanan warga emas.
Kata Dr. Khairunizah, boleh dikatakan kurang atau tiada produk tempatan yang diformulasi untuk memenuhi citarasa dan keperluan veteran tempatan.
Dengan adanya hasilan tempatan sebegini dapat memberikan kelestarian makanan berfungsi dalam negara bagi membantu warga tua.
Malah, kehadiran produk makanan berfungsi ini sangat bertepatan dengan keadaan negara. Dalam masa tiga tahun akan datang, satu daripada 10 rakyat Malaysia akan berumur 60 tahun dan ke atas.
“Menjelang tahun 2040, nisbahnya dianggarkan menjadi satu daripada lima orang Malaysia. Oleh itu, negara ini boleh mencapai status negara yang lebih tua.
Dengan itu, kehadiran produk ini dilihat bukan sahaja dapat meningkatkan penghasilan makanan berfungsi dalam negara malah dapat melahirkan rakyat yang lebih sihat, ceria dan kaya,” jelasnya.
Namun begitu, produk berkenaan bukan sahaja sesuai untuk warga tua malah boleh juga dikonsumsi oleh golongan muda atau ahli sukan yang mempunyai gaya hidup aktif.










