Lawatan PM ke Arab Saudi turut bincang kuota haji, umrah - Utusan Malaysia

Lawatan PM ke Arab Saudi turut bincang kuota haji, umrah

Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman mengaminkan doa sebelum berangkat ke Arab Saudi untuk lawatan rasmi di Pangkalan Udara TUDM Subang, semalam. - GAMBAR FB MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lawatan rasmi beliau ke Asia Barat cukup signifikan kerana bakal membincangkan pelbagai usaha untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.

Menurut Perdana Menteri, ini termasuk bidang perdagangan, pelaburan dan hal ehwal Islam yang mampu melonjakkan hubungan baik sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau memberitahu, sudah pasti soal kuota haji dan urusan umrah juga tidak ketinggalan akan dibincangkan dalam pertemuan itu kelak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hari ini, saya berangkat ke Mekah untuk lawatan rasmi sulung saya ke Asia Barat, bagi memenuhi jemputan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, Raja Arab Saudi yang juga penjaga dua masjid suci umat Islam.

“Insya-Allah, saya akan menunaikan umrah di tanah suci Mekah dan melakukan ziarah di Madinah terlebih dahulu, sebelum memulakan program rasmi di Istana Al-Yamamah di Riyadh, pada 9 Mac ini,” katanya menerusi Facebook beliau sebelum berangkat ke negara itu, semalam.

Selain menghadap Raja Salman, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kerajaan Arab Saudi.

Dari Arab Saudi, Muhyiddin akan terus ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE), untuk bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

“Doakan agar perjalanan saya ini dipermudahkan dan segala urusan demi kemaslahatan ummah mendapat barakah oleh Allah SWT. Amin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini