Jika masuk politik, sebelah kaki dalam penjara – Zahid Hamidi -

Jika masuk politik, sebelah kaki dalam penjara – Zahid Hamidi

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era globalisasi, hampir tiada sebarang parti politik nasionalis yang mewakili satu-satu kaum majoriti, berjaya mendepani pilihan raya sebagai parti tunggal. Sebaliknya, mereka mengambil langkah bergabung dalam satu gagasan lebih besar.
Di Eropah misalnya, parti National Front di Perancis membuka jalinan kerjasama dengan parti haluan kanan Itali, League bagi memperkasa suara kaum kulit putih di benua itu. Malah formula yang sama turut dipraktikkan di Indonesia, apabila parti Gerindra di bawah Prabowo pernah mempunyai rekod bergabung dengan parti nasionalis lain termasuk PD, Golkar, dan PPP sewaktu pilihan raya.
Persoalannya, bagaimana dengan Malaysia? Sejauh mana UMNO yang dahulunya sinonim menjuarai Melayu, mampu berdepan tuntutan politik serba baharu yang sangat dinamik? Bolehkah ia berdiri sendiri seperti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), atau ada usaha buat penjajaran baharu demi elak sejarah PRU-14 berulang?
Mendepani persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, Zulkifli Jalil, Roshihan Annuar Yub dan Fahmi Faiz bertemu bual dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Ia turut dibantu jurukamera Muhammad Shiddieqiin Zon serta juruvideo Mohd. Fikri Fadzil.

 

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana senario Muafakat Nasional (MN) hari ini?
Zahid: Sebenarnya sebelum piagam penyatuan ummah dalam Muafakat Nasional (MN) dan juga perjanjian persefahaman yang telah menitiskan air mata umat keseluruhannya sama ada mereka ahli UMNO atau Pas, rata-rata memang mengharapkan penyatuan yang mencetuskan rasa kekitaan yang cukup tinggi.

Boleh ulas lanjut?
Bila roh ini diterjemahkan dalam penyatuan fikrah pemikiran, kita lihat kemenangan kita di tujuh PRK telah memperlihatkan MN adalah wadah politik yang harus diterjemahkan di dalam bentuk realiti. Malah kita tahu beberapa ucapan sama ada dalam UMNO dan Pas sendiri yang mengharapkan agar MN ini akan berakhir hingga hari kiamat. Dan kita memang mengharapkan panas hingga ke petang. Cukup setakat itu (tertawa).

Ada pihak cuba ‘rompak’ MN?
Muslihat politik berlaku di mana-mana sahaja di dunia ini dan Malaysia tidak terkecuali. Saya tidak bersetuju dengan istilah dirompak itu, namun itulah yang berlaku. Dalam keadaan ini kita harus out smart seteru politik kita. Dan kita faham seteru politik kita akan melakukan kaedah yang sama. Oleh yang demikian muslihat politik ini bukan sekadar permainan politik, tapi tentu ada liku dan lorong yang harus kita baca bukan setakat di permukaan tetapi di lapisan-lapisan selain daripada itu.
Siapa seteru politik yang Datuk Seri maksudkan?
Siapa sahaja yang berada di luar UMNO, sama ada sahabat atau pun seteru sebenar. Di minda kita harus ada perasaan bahawa sebarang kemungkinan akan berlaku dalam politik. Maka selain diri kita, kita harus mempunyai perasaan bahawa tiada sahabat kekal dan tiada juga musuh yang kekal.

KALAU ADA MARUAH, LEPASKAN KERUSI

Bersatu sudah tegaskan, jangan kacau kerusi mereka?
Itu hak untuk mereka bercakap, tapi hak kami pula bagaimana? Kerana mereka menang bukan atas nama peribadi tapi atas tiket BN dan mereka mewakili UMNO. Jadi hak itu adalah hak parti bukan individu. Apa pun istilah yang mereka gunakan, itu tafsiran mereka. Tapi jika mereka mengutamakan maruah, maka mereka seharusnya berhenti daripada memegang kerusi itu. Kenapa? Kerana kepercayaan pengundi diberikan atas tiket parti.

Ini akan membuka ruang kepada tiga penjuru?
Saya rasa, sama ada dua, tiga atau beberapa penjuru, itu satu perkiraan yang pada hemat saya harus bukan hanya diteliti dari segi jumlah undi yang diperoleh pada PRU-14 atau pilihan raya sebelumnya. Tapi jika penanda aras mahu digunakan, maka PRU-14 telah berlaku pola dan budaya pengundian luar biasa. Maka mungkin lebih sesuai kalau kita lihat keputusan PRU-12 atau PRU-13, namun terdapat pengundi baru sama ada di saluran tiga atau empat. Ini menjadi elemen tambahan kepada penanda aras pilihan raya dan daya sokongan.

TAK PERLU JAMBATAN

Krisis UMNO-Bersatu mungkin heret Pas memilih PN. Bersediakah UMNO stand alone?
Kita memegang prinsip kepada perjanjian, bukan sekadar piagam dan MOU (memorandum kerjasama) yang ditandatangani. Tapi dalam mesyuarat MN telah diputuskan bahawa UMNO dan Pas tidak akan tergesa-gesa menyertai parti gabungan PN. Kami berpegang kepada prinsip itu. Namun jika rakan kongsi politik kita mengambil keputusan sebaliknya, itu adalah hak parti mereka. Namun mereka tidak boleh melakukan paksaan kepada kita dan mahu menawarkan diri untuk menjadi jambatan.

Kenapa?
Kerana kita tak perlu sebarang jambatan untuk menyeberang atau datang. Kita berpendirian bahawa dahulu pun sebenarnya kita stand alone disebabkan BN bersama dengan rakan lain. Dan tak salah kalau sekali lagi kalau kita stand alone dalam PRU akan datang, biar apa pun keadaan politik yang sedang kita depani.

‘PELURU’ KEPADA PH?

Pergolakan blok politik haluan kanan PN ini akan beri ‘peluru’ kepada PH?
Itu bacaan saudara, bacaan kita berbeza. Saudara adalah wartawan, kami adalah ahli politik. Pandangan ahli politik mungkin berbeza dengan penganalisis politik dan wartawan. Saya fikir, eloklah jika penganalisis politik atau wartawan masuk ke gelanggang politik untuk bersama-sama menawarkan diri.

Maksudnya?
Maksudnya, sama ada pandangan tadi diterima oleh pengundi atau sebaliknya. Mudah untuk menulis atau menaip kerana pemikiran itu diturunkan ke jari. Saya tak mencabar mana-mana pihak dalam perkara ini, tapi kebebasan untuk menganalisis atau memandang dari sudut pandang yang berbeza dari perspektif ahli politik, kami hormati.

TAPISAN CALON

Adakah UMNO akan buat tapisan calon lebih ketat mengambil kira pengalaman PRU14?
Sekarang kami berada di tahap pertama, iaitu kenal pasti kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mencapai tahap boleh menang. Namun jika sampai ke tahap pilih calon nanti, keutamaan kami adalah kesetiaan kepada parti.

Apa indikator menilai kesetiaan calon?
Kita tidak mempunyai data empirikal, tapi kita ada maklumat yang cukup lengkap untuk menilai seseorang itu, bukan hanya calon, tapi seseorang itu. Kita tidak mahu lagi berlaku, jika mereka mempunyai tahap kemenangan yang tinggi tapi tiada kesetiaan, mereka akan jatuh sebagai kategori ‘lariyun’. Jadi kita tak seharusnya terperangkap dalam situasi itu.

KLUSTER MAHKAMAH

Kumpulan ‘kluster mahkamah’ dalam UMNO jadi kekangan?
UMNO hanya ada satu kluster, iaitu kluster UMNO. Kenapa kita mesti terperangkap dengan lemparan istilah daripada mereka yang tak menyukai UMNO? Kenapa kita terus menari dengan irama yang dicipta oleh mereka? Sedangkan kita mempunyai acuan sendiri. Ini adalah dasar pecah dan perintah, divide and rule. Walaupun itu merupakan hipotesis politik lama, tapi ia masih relevan.

Tapi yang mengkritik itu datang dalam kalangan UMNO sendiri, seperti Tan Sri Annuar Musa dan sebagainya?
Kita tidak perlu menggemakan dendangan lagu pihak lain. Kita mempunyai lagu sendiri dan tentunya dendangan lagu itu harus kita sama-sama nyanyikan agar sesuai dengan roh UMNO itu sendiri. Itu faktor utama kenapa saya sebut tentang kesetiaan. Biarpun kita raikan perbezaan pendapat, tapi jangan sampai wujud kabilah.

Komen tentang laporan segelintir pemimpin UMNO yang ada kes mahkamah tak boleh bertanding?
Saya amat bersimpati kepada mereka, malah untuk diri saya sendiri mungkin tak terkecuali untuk saya bersimpati kepada diri saya sendiri (tertawa). Kerana kami telah dimangsakan dan perbicaraan terpilih ini berlaku.

Pandangan Datuk Seri, apa agendanya?
Tujuannya untuk membuktikan bahawa teori kesan domino itu berlaku. Bila papan di hadapan jatuh, maka diharapkan papan-papan di belakangnya akan turut jatuh. Jadi kesan domino inilah yang mahu dilakukan mereka. Tapi malang sekali, orang yang telah menciptakan tuduhan ini tidak lagi berada sebagai peneraju utama negara ini.

BACK DOOR DEAL

Betulkah Datuk Seri sedang cuba buat satu penjajaran politik baru dengan PKR dan Anwar Ibrahim?
Saya melontarkan istilah jajaran baru ketika pembentukan kerajaan Perak. Kenyataan itu saya keluarkan di hadapan wartawan di Istana Kinta waktu itu. Ketika itu kita mahu terus mengekalkan kerajaan PN Perak, tapi hanya menukar individu sebagai Menteri Besar, maka jajaran baru harus dilakukan. Ini terutamanya jika DUN Perak bersidang, undi percaya mesti dilakukan dan jajaran baru harus dimulakan untuk menentukan bahawa kepimpinan baru di Perak ini mendapat dokongan semua pihak. Hasilnya keseluruhan 59 ADUN Perak telah memberikan dukungan kepada Menteri Besar Perak yang baru, jadi itulah jajaran baru.

Maksudnya?
Adakah kita menjemput parti-parti selain daripada PN berada dalam kerajaan negeri Perak? Tidak. Adakah salah kalau mereka yang dulunya tidak menyokong kita, dengan jajaran baru ini mereka menyokong kita? Dan mereka tidak merupakan sebahagian daripada kerajaan. Acuan yang sama juga telah berlaku di Johor. Itu merupakan satu jajaran baru di negeri Johor. Tapi mungkin pasca PRU15, jajaran baru ini bukan lagi baru ketika itu. Maka apa yang harus kita lakukan adalah penjajaran politik, atau ‘political reset’ yang bersesuaian ketika itu kerana politik adalah dinamik. Kita tak harus jumud atau statik, atau hanya bergantung kepada satu formula sahaja dalam politik. Maka pemimpin itu tak bijak bila buat keputusan dengan menggunakan formula di rumah politik yang telah usang.

Jadi betullah kenyataan Anwar mendakwa ada perbincangan dengan pemimpin UMNO?
Saya tak mengetahuinya pun. Jika ada, tentu itu adalah usaha peribadi mana-mana pemimpin UMNO. Dan parti UMNO tak pernah memberikan sebarang endorsement jika ada pertemuan-pertemuan itu.

Dari pihak Datuk Seri sendiri, adakah pendirian UMNO untuk tolak PKR, tolak DAP dan tolak Anwar itu tetap jitu?
Jangan lupa, kita juga berpendirian menolak Bersatu!

KLUSTER MENTERI

Pendirian Datuk Seri terhadap segelintir pimpinan UMNO yang membelakangi jemaah dan menyokong Bersatu?
Tidak ramai kumpulan itu, ini merupakan kumpulan picisan.

Tapi alasan ‘kluster menteri’ ini, mereka tak mahu parti-parti blok kanan ini berpecah. Tidakkah ia alasan yang relevan?
Saya telah menyatakan tidak ada kluster. Jangan terperangkap dengan istilah yang dibaling oleh pihak luar. Jika ada pun yang memikul rasa kononnya perbezaan pendapat itu untuk menyelamatkan UMNO, sebenarnya dikhuatiri bahawa pegangan itu untuk menyelamatkan dirinya dan kerusinya.

Tidakkah pandangan berbeza yang dilontarkan kumpulan ini akibatkan akar umbi jadi keliru?
Ada dua premis yang ingin saya nyatakan. Daripada 191 bahagian UMNO seluruh negara, kaji selidik memperlihatkan 147 Ketua Bahagian mahu mufarakah yakni berpecah dengan Bersatu. Dan ia diformulakan dalam bentuk usul.

Boleh ulas lanjut?
Ia diusulkan dalam persidangan bahagian-bahagian, 124 daripada 190 bahagian yang bersidang memutuskan untuk tidak bersama dengan Bersatu dalam PRU-15. Dan itu menjadi keputusan dalam Majlis Tertinggi (MT). Ertinya MT mendengar keputusan dari akar-umbi. Cuba kira peratusannya, ia melebihi daripada 60 peratus. Dan ini merupakan terjemahan kepada prinsip demokrasi bahawa suara majoriti mengatasi suara minoriti.

Jadi, bagaimana pihak UMNO yang tetap ingin teruskan kerjasama dengan Bersatu?
Ertinya orang itu tidak bersemangat demokratik. Bukan sahaja sebab majoriti bahagian sudah sebulat suara tolak Bersatu, tapi sebab mereka juga adalah ahli MT. Jadi harus akur kepada MT. Apa istimewanya seseorang itu, kalau bersetuju dalam MT atau menerima keputusan MT, tapi di luar atau di platform lain seperti di PAU (Perhimpunan Agung UMNO), mereka bertindak sendirian.

Kumpulan UMNO pro-PN ini adakah akan dilantik calon dalam PRU nanti?
Belum tiba masanya.

BILIK PERANG AKTIF

Untuk PRU nanti, dah ada persiapan?
Perlukah saya berkongsi strategi UMNO dan BN?

Bukan berkongsi strategi, tapi hendak yakinkan akar umbi bahawa parti memang dah bersedia?
Saya ingin beritahu, kesiapsiagaan kita berada di tahap lebih 90 peratus. Kita telah mengadakan bilik perang (war room), kita telah bukan sekadar mengumpul, tapi juga sudah menganalisis data pilihan raya.
Kita telah kenal pasti kawasan retain dan regain, kita juga telah menyusun jentera bukan sahaja di peringkat bahagian, tapi juga di peringkat negeri dan nasional. Malah kami mempunyai pendekatan koordinasi secara mikro dalam setiap pusat daerah mengundi (PDM). Itu sahaja yang boleh saya nyatakan, noktah (tertawa).

PERISIK, EJEN

Tidakkah war room risau tentang aparatus kerajaan sekarang seperti agensi perisikan politik?
Apa bezanya ketika kita menjadi kerajaan?

Bezanya, dulu UMNO yang pegang aparatus. Tapi sekarang pula bagaimana?
Mana kita tahu kalau waktu itu, mereka juga meletakkan pengintip dan ejen di dalamnya? Jangan khuatir dalam perkara ini. Saya fikir, secermat kita pun, pasti ada alat pengintipan yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat. Bukan melalui seseorang, tapi melalui peranti-peranti yang lebih canggih sekarang ini. Saya tahu, sebab saya bekas Menteri Pertahanan serta Menteri Dalam Negeri. Saya tidak mahu berkongsi lebih dari itu (tertawa).

SEBELAH KAKI DALAM PENJARA

Cabaran mengharungi kes mahkamah?
Saya tak memandang itu sebagai kekangan besar kerana ini adalah satu ujian sebagai ahli politik. Kita harus mengetahui, jika seseorang itu tercebur dalam kancah politik, di minda mereka harus mengetahui bahawa satu kakinya sebenarnya sedang berada dalam penjara.
Kalau itu jadi pegangan kita, maka jangan harus timbul kekhuatiran. Kalau kita tidak melakukan sesuatu kesalahan dari segi etika dan politik, yakinlah kebenaran akan memihak kepada kita. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN