KUANTAN: Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) meminta kerajaan memberi jaminan agar skrip ‘bangau oh bangau’ tidak berulang jika industri perlombongan bauksit dimulakan kembali.
Pengerusinya, Ali Akbar Othman berkata, Geram sejak awal penubuhannya, tidak menghalang industri bauksit namun perlaksanaannya perlu kepada prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan ketat.
“Geram sambut baik penambaikan SOP sedia ada, cuma kita tekankan perlu ada agensi pemantau dan penguatkuasaan kepada SOP yang dilaksanakan.
“Jika boleh, SOP berkenaan juga perlu didedahkan kepada umum supaya rakyat tahu dan boleh memainkan peranan sebagai pemantau jika pemain industri tersebut gagal mematuhinya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ali Akbar berkata, Geram juga berbesar hati jika pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilibatkan dalam aktiviti ke arah kebaikan dan manfaat alam sekitar.
“Perlu juga ada satu badan, pusat sehenti untuk menerima laporan bersabit isu alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata, ketelusan dalam menyalurkan maklumat terperinci harus menjadi pegangan kerajaan dalam memastikan penarikan balik moratorium kegiatan bauksit tidak merugikan semua pihak.
“Rakyat pula dapat menikmati persekitaran yang bersih tanpa ada pencemaran untuk menjamin kesihatan, manakala pelombong dibenarkan melombong, tetapi dengan SOP bersesuaian dan ketat,” katanya.
Apa yang utama beliau berkata, kelestarian kepada alam sekitar dan rakyat tidak melalui ‘episod duka’ seperti mana kegiatan itu berleluasa sejak 2014. – UTUSAN











