Warisan Kampung Kuchai masih boleh diselamatkan - Utusan Malaysia

Warisan Kampung Kuchai masih boleh diselamatkan

SALAH sebuah rumah tinggalan bangsawan Melayu yang masih kukuh di Kampung Kuchai, Ipoh, Perak perlu dipelihara sebagai warisan sejarah. – UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Usaha menyelamatkan warisan Kampung Kuchai di sini yang berusia 200 tahun masih belum terlambat biarpun satu demi satu rumah-rumah pe­ninggalan bangsawan Melayu itu yang merupakan penduduk awal bandar raya ini lenyap menyembah bumi.

Amat malang sekiranya tindakan segera tidak diambil bagi mewartakan Kampung Kuchai sebagai tapak warisan Ipoh sejajar dengan nilai sejarah besarnya dalam pembangunan bandar raya ini.

Bagaimanapun usaha itu berdepan kesukaran selagi isu pemilikan tanah gagal diselesaikan termasuk kerjasama dalam kalangan pewarisnya atas nama memulihara warisan orang Me­layu.

Setiausaha Persatuan Wa­risan Perak, Nor Hisham Zulkifle berkata, isu pemilikan tanah Kampung Kuchai yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu dipercayai menjadi punca pihak berwajib tidak dapat berbuat apa-apa untuk membangunkan dan memulihara kawasan bersejarah itu.

Malah keterbatasan itu sa­ngat merugikan kerana Kampung Kuchai adalah antara perkampungan Melayu moden semasa era kolonial di negara ini yang masih wujud sehingga ke hari ini.

“Kita menerima banyak pertanyaan pelbagai pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan sejarah termasuk beberapa individu berpengaruh susulan berita pe­robohan rumah kebajikan King George V Silver Jubilee Rotary Home di Kampung Kuchai oleh pihak-pihak tertentu ming­gu lalu.

“Kita tidak tahu siapa yang berbuat demikian, berkemungkinan juga perobohan dilakukan sendiri oleh waris.

“Memang sejak beberapa tahun lalu Persatuan Warisan Pe­rak telah menyuarakan tentang hal ini termasuk kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), tetapi kami hanyalah sebuah NGO dan peranan yang boleh dimainkan terhad,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, akhbar ini me­laporkan sebuah rumah bersejarah di Kampung Kuchai lenyap apabila dirobohkan pihak tidak diketahui dengan meninggalkan sisa-sisa runtuhan yang berselerakan.

Binaan rumah kayu pe­ninggalan golongan bangsawan Melayu berusia 100 tahun itu pernah dijadikan tempat perlindungan kanak-kanak gelandangan pada 1935 dikenali sebagai King George V Silver Jubilee Rotary Home.

Pada 2010, rumah yang terletak di tebing Sungai Kinta ini dan hanya 400 meter dari Masjid Kampung Paloh menjadi premis Kelab Belia Ipoh (Perak Youth Club) sebelum dikosongkan beberapa tahun kemudian.

Nor Hisham berkata, sebahagian tanah Kampung Kucai dan Kampung Paloh yang terletak bersebelahan adalah warisan Toh Puan Saripah Rodziah iaitu isteri Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Wan Mohamad Salleh Wan Abu Bakar iaitu Ketua Peng­hulu di Perak.

Makam kedua-dua tokoh ini terletak di kawasan perkuburan Islam Masjid Paloh.

Sementara itu sumber memberitahu, rancangan untuk membangunkan Kampung Kuchai pernah dikemukakan pada 1981 semasa pelan penstrukturan Ipoh masa itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN