PETALING JAYA: Ada tukang gunting terpaksa ikat perut, menggadai emas serta mengurangkan perbelanjaan keluarga demi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
P. Kanna, 46, berkata, keadaan menjadi sukar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan pada Mac hingga Jun tahun lalu menyebabkan dia terpaksa melewatkan pembayaran gaji bagi 25 pekerjanya yang merupakan warga asing.
Dia terpaksa menggunakan hampir kesemua wang simpanannya dan menggadai barang kemas demi membela nasib 33 orang pekerjanya.
“Pada bulan ketiga PKP yang pertama, saya sudah tidak mampu untuk membayar gaji pekerja. Saya beritahu mereka mengenai masalah ini dan kesemua pekerja memahami dengan tidak mendesak saya sebaliknya hanya meminta agar saya dapat menanggung makan dan minum sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun, sekali lagi keadaan tidak berpihak kepada sektor tersebut apabila diarahkan menutup operasi pada 13 Januari lalu menyebabkan kira-kira 40 peratus daripada 80,000 peniaga terpaksa gulung tikar dengan anggaran 15,000-16,000 pekerja kehilangan sumber pendapatan.
Tambah Kanna, dia mengeluarkan kira-kira RM210,000 dari wang simpanannya untuk membayar sewa bangunan, internet, bil air dan elektrik serta gaji pekerja untuk tempoh tiga bulan pertama PKP.
“Sekiranya masih lagi tidak dibenarkan berniaga dalam masa terdekat, saya percaya semakin ramai yang terpaksa tutup kedai. Saya sendiri tidak mampu menanggung pembayaran komitmen yang tinggi kerana tiada sumber pendapatan,” jelasnya.
Pun begitu, dia yang mempunyai tujuh cawangan kedai gunting di Kuala Lumpur dan Selangor mampu menarik sedikit nafas lega apabila isterinya memahami situasi dan sanggup membantu menanggung perbelanjaan persekolahan anak melalui perniagaan kek dalam talian talian.
Sementara bagi Michael Goh, 48, pendapatannya menurun sehingga 70 peratus sejak memulakan semula operasi selepas penarikan semula arahan PKP.
“Mudah kata, sekiranya kami meletakkan gunting, maka perniagaan akan tutup. Kami benar-benar terkesan, duit simpanan juga hampir licin. Tidakkah kerajaan menyedari tiada kluster membabitkan sektor ini sejak dibuka semula?” soalnya.
Dia turut melahirkan kerisauan penambahan masalah sosial dalam kalangan pemain industri sekiranya tempoh penutupan operasi dipanjangkan.
“Mereka perlu buat sesuatu untuk terus hidup, jadi tidak mustahil mereka mencari jalan mudah seperti mencuri. Jika ini terjadi, akan lebih menyukarkan kerajaan dan memberi implikasi besar kepada negara,” jelasnya.
Bagi Azroy, 23, walaupun masih baharu dalam sektor ini, namun dia tertekan dengan situasi yang tidak nampak penghujungnya.
Memasuki tahun ketiga menjalankan perniagaan, dia melihat masa depan sektor ini semakin samar dan tidak lagi boleh diselamatkan.
“Empat orang pekerja saya juga tidak lagi memperoleh pendapatan disebabkan perniagaan tidak beroperasi. Mereka sedih apabila gagal membantu keluarga. Saya tiada pilihan lain dan terpaksa gulung tikar jika kerajaan tidak membuka mata melihat keperitan sektor ini,” luahnya.
Dalam pada itu, Omar Al-Khattab, 37, pula mengharapkan keajaiban dari pihak kerajaan untuk memberi kebenaran kepada industri untuk beroperasi walaupun berdepan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
“Inilah satu-satunya cara untuk kami menjana semula pendapatan. Ini kerana walaupun perniagaan diarahkan tutup, tetapi kami masih perlu membayar sewa premis tanpa sebarang diskaun. Itu menjadi beban yang sangat berat untuk ditanggung,” katanya. – UTUSAN










