PETALING JAYA: “Nak tukar tayar pun tak lepas.” Itu komen pengusaha bas sekolah terhadap bantuan RM500 daripada kerajaan secara sekali gus kepada golongan tersebut.
Presiden Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, bukan mereka tidak menghargai bantuan itu tetapi jumlah tersebut terlalu kecil berbanding beban yang terpaksa mereka tanggung sejak pandemik Covid-19 melanda.
Malah, katanya, lebih 50 peratus pengusaha bas sekolah terpaksa menukar kerjaya mereka demi meneruskan kelangsungan hidup.
Mohd. Rofik berkata, pengurangan jumlah pengusaha bas sekolah itu berpunca daripada penutupan sekolah sejak tahun lalu.
“Jumlah pengusaha bas telah banyak berkurangan, boleh kata pengurangannya hampir 50 peratus kerana ada antara kami yang bas ditarik kerana gagal membuat pembayaran dan ada juga yang terpaksa menjual bas sekolah untuk meneruskan kehidupan dan menyara keluarga.
“Kerajaan mengumumkan bantuan sebanyak RM500 kepada pengusaha bas, namun jumlah itu amat jelas tidak mencukupi untuk kami yang sudah hilang punca pendapatan setelah sekian lama. Sekurang-kurangnya, kami memerlukan RM3,000 untuk mulakan semula perkhidmatan kami,” katanya.
Mohd. Rofik berkongsi pandangannya itu ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam mengenai persediaan golongan pengusaha bas sekolah menghadapi pembukaan sesi persekolahan pada Mac akan datang.
Beliau berkata, pengumuman Kementerian Pendidikan yang mengatakan sesi persekolahan akan dibuka secara berperingkat membuatkan kumpulan pengusaha bas sekolah tidak yakin untuk memulakan perkhidmatan.
“Kami juga masih belum pasti sama ada kami akan mulakan perkhidmatan atau tidak kerana apabila sekolah dibuka secara berperingkat maka jumlah pelajar sudah tentu sedikit. Kami akan membazirkan modal sahaja jika hanya mengambil hantar seorang atau dua orang pelajar.
“Untuk mulakan juga kami perlu keluarkan perbelanjaan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), cukai jalan serta insurans bas,” katanya.
Tambah Mohd. Rofik, peningkatan harga diesel pada setiap minggu juga turut membebankan golongan pengusaha bas.
“Pihak kami amat menghargai sekiranya kerajaan boleh pertimbangkan untuk kawal harga diesel iaitu RM1 per liter khas untuk pengusaha bas,” ujarnya. – UTUSAN










