KUANTAN: Malaysia masih belum sesuai untuk memberikan mandat kepada anak muda seawal usia 18 tahun menjadi pengundi dalam pilihan raya.
Pensyarah Kanan Undang-Undang Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, ini kerana jika hendak dibandingkan dengan negara maju, Malaysia jauh ketinggalan terutama membabitkan aspek pengajian demokrasi dan kenegaraan dalam kalangan anak muda.
Beliau menjelaskan, kematangan sistem pendidikan polititik di negara-negara maju dan Eropah juga adalah jauh lebih terbuka berbanding negara ini.
“Jadi, anak muda berusia 18 tahun sebenarnya belum sesuai untuk menjadi pengundi. Golongan ini perlu dididik bermula di peringkat sekolah rendah tentang pengajian demokrasi dan kenegaraan.
“Di negara-negara maju sebagai contoh, ada negara yang anak muda seawal usia tujuh tahun telah diberikan pendedahan awal tentang pendidikan politik, ini Malaysia ketinggalan dan perlu berubah ke arah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sidang Dewan Rakyat pada Julai 2019 meluluskan cadangan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Keputusan itu mendapat sokongan tanpa bantahan kesemua 211 ahli Parlimen yang hadir.
Dengan kelulusan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, timbul kebimbangan dan keraguan terhadap ‘kewibawaan’ anak muda seawal usia 18 tahun dalam menentukan pucuk pimpinan kerajaan.
Wan Emril Nizam berkata, jika dilihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu pun, rata-rata anak muda yang mengundi membuat keputusan sekadar hanya untuk ‘cuba-cuba’ dan termakan dengan ‘gula-gula’ politik oleh parti yang bertanding.
“Ini merupakan suatu yang tidak baik kerana kesannya nanti adalah pada negara dan juga rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, biarpun telah diluluskan di Dewan Rakyat tetapi kerajaan perlu mengkaji semula kerana apa yang perlu diutamakan adalah pendidikan awal pengajian demokrasi dan kenegaraan.
“Kerajaan juga perlu mewujudkan sebuah Pusat Pendidikan Tentang Pilihan Raya, aspek ini perlu meluas bermula di peringkat sekolah rendah sehingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Ini penting supaya anak muda di negara ini mempunyai kematangan demokrasi. Apabila matang, mereka akan membuat pilihan yang bukan secara populis dan berdasarkan sentimen, tetapi ia demi masa depan agama, bangsa dan juga negara,” jelasnya. – UTUSAN










