Mana Jawatankuasa Khas Bebas Darurat? - Utusan Malaysia

Mana Jawatankuasa Khas Bebas Darurat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setelah hampir sebulan proklamasi darurat diisytiharkan sejak 12 Januari lalu, beberapa pihak bertanyakan status Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang sehingga kini belum jelas perkembangannya.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut meluahkan rasa hairan terhadap kelewatan mengumumkan penubuhan jawatankuasa tersebut kerana menganggap ia sepatutnya ditubuhkan sebaik sahaja darurat diisytiharkan.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut meluahkan rasa hairan terhadap kelewatan mengumumkan penubuhan jawatan kuasa tersebut kerana menganggap ia sepatutnya ditubuhkan sebaik sahaja darurat diisytiharkan.

Beliau juga mempersoalkan sama ada peranan jawatan kuasa itu bertindih dengan tugas-tugas menteri ketika ini.

“Ia perlu ditubuhkan segera kerana jawatan kuasa tersebutlah yang akan meneliti segala perkara dalam tempoh darurat ini.

“Kelengahan menubuhkan jawatan kuasa tersebut menimbulkan persoalan apakah proklamasi darurat ini perlu atau tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini dilaporkan bahawa kira-kira 20 individu akan menyertai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang terdiri daripada bekas Ketua Hakim Negara, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), bekas Ketua Polis Negara (KPN), empat wakil Perikatan Nasional (PN), tokoh bidang keselamatan, pertahanan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis sosial dan tiga wakil pembangkang.

Dalam pada itu, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat pada 16 Januari lalu sedangkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat belum ditubuhkan.

“Seharusnya kedua-dua jawatan kuasa ditubuhkan pada waktu yang sama walaupun terma tugas adalah berlainan. Malah seharusnya cuma ada satu jawatan kuasa kerana maklumat yang digunakan pasti bertindih antara satu sama lain.

“Jadi, jika perlu ada jawatan kuasa berasingan, proses penubuhan ini bakal menimbulkan syak wasangka orang ramai. Masalahnya kini telah timbul syak wasangka dan persepsi negatif terhadap statistik harian pandemik dan kelewatan penubuhan jawatan kuasa bebas ini mahu tidak mahu menambah lagi syak wasangka negatif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN