PUTRAJAYA: Lebih kurang 13 juta isi rumah daripada kumpulan B40 dan asnaf yang berkelayakan memohon lesen motosikal B2 akan dapat berbuat demikian menerusi inisiatif Lesen Prihatin yang akan dilancarkan kerajaan untuk golongan itu dalam tempoh terdekat.
Inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban golongan belia daripada keluarga yang tidak berkemampuan memperoleh lesen motosikal B2 dengan kos yang lebih murah berbanding kos pada masa sekarang yang ditetapkan iaitu RM350.
Perincian dan garis panduan Lesen Prihatin turut menilai jumlah belia yang terlibat terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 apabila ramai rakyat terkesan dengan kos sara hidup.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ia sama ada mengurangkan kos memiliki lesen motosikal B2 atau lebih murah.
“Di peringkat kementerian kita telah berbincang hal ini, dan saya sebagai Menteri Pengangkutan meluluskan untuk melaksanakan inisiatif lesen prihatin ini bulan lalu.
“Inisiatif ini bagi membantu meringankan beban golongan belia B40 dan asnaf supaya mereka boleh memiliki lesen bagi mengelak dikenakan tindakan ketika memandu atau menunggang motosikal demi keselamatan nyawa mereka.
“Daripada soal selidik dan tinjauan ke luar bandar yang dibuat, kebanyakan ibu bapa meluahkan masalah ini (kos lesen) sedangkan motosikal merupakan pengangkutan utama mereka dalam aktiviti harian,” katanya di sini semalam.
Ka Siong berkata, inisiatif tersebut pernah dilaksanakan ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) sekitar 2016 dan ia akan diperkenalkan semula demi membantu rakyat.
Bagaimanapun menurut beliau, segala perincian, garis panduan dan jumlah kos yang akan dibantu akan dimaklumkan kemudian.
Katanya, ini termasuk menilai jumlah belia terlibat dalam pelaksanaan inisiatif tersebut terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 apabila ramai rakyat terkesan dengan kos sara hidup.
Mengikut rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pada masa ini harga untuk memiliki lesen motosikal kekal dengan dengan harga siling RM350 setiap seorang diikuti lesen bagi kereta transmisi manual (D) adalah RM1,150 manakala bagi kereta transmisi automatik (DA) pula iaitu RM1,250.
Jabatan itu turut merekodkan sebanyak 382,479 saman dalam tempoh 2019 hingga November tahun lalu ke atas pemandu yang tiada lesen.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 157, 601 saman dikeluarkan pada 2019 manakala 224,878 lagi pada tahun lalu.
Sepanjang tempoh 2019 hingga November lepas, sebanyak RM209.2 juta kutipan bayaran saman membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya dipungut JPJ.
Pada 2019 pula merekodkan penyelesaian saman terbaik apabila daripada 1.37 juta saman dikeluarkan 73 peratus sudah dibayar.
Pada Januari sehingga November tahun lalu, bagi jumlah saman yang dikeluarkan sebanyak 56 peratus telah dijelaskan dan pencapaian ini agak memuaskan berbanding tahun sebelumnya iaitu bawah 60 peratus.
Peningkatan prestasi itu kerana insentif bulan kemerdekaan oleh kerajaan lalu menawarkan pengurangan saman secara automatik.
Tidak mampu memiliki lesen motosikal berharga RM350 menjadi antara alasan golongan belia paling ramai ditahan pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kesalahan tersebut juga menjadi salah satu punca utama kemalangan apatah lagi mengambil kira peningkatan jumlah kenderaan sebanyak 35 juta di negara ini sekarang.
Tinjauan Utusan Malaysia dalam kalangan belia mendapati, ramai antara mereka ‘memberanikan diri’ memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen hanya kerana tidak mampu membayar kos dokumen penting itu terutama golongan B40 dan asnaf.
Berdasarkan statistik saman yang dikeluarkan terhadap sembilan kesalahan utama menunjukkan masih ramai pengguna jalan raya memandu tanpa lesen dan ini amat berbahaya.
Memandu tanpa lesen adalah kesalahan serius kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga nyawa orang lain. – UTUSAN











