Keputusan terima vaksin bukan dibuat melulu - Utusan Malaysia

Keputusan terima vaksin bukan dibuat melulu

DR. WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UTUSAN: Apa pandangan ber­kenaan kumpulan umat Islam yang mempertikai vaksin Co­vid-19?

WAN SALIM: Adalah sangat dikesali dan amat mendukacitakan apabila masih ada dalam kalangan umat Islam yang meragui status vaksin Covid-19 sedangkan muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan hukum­nya harus dan halal digunakan untuk umat Islam.

UTUSAN:  Sejauh mana keyakinan umat Islam terhadap status vaksin itu?

WAN SALIM: Keputusan harus dan halal vaksin itu dibuat setelah mendengar taklimat yang disampaikan Ketua Pengarah Kesihatan selain meneliti hasil kajian terperinci yang telah dijalankan pasukan penyelidik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Perlu dinyatakan ahli-ahli muzakarah adalah dianggotai mufti serta anggota-anggota lain yang dilantik Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang profesional dan akademik.

UTUSAN: Bagaimana dengan dakwaan terdapat unsur atau elemen haiwan dalam vaksin?

WAN SALIM: Umat Islam tidak sepatutnya meragui status halal vaksin Covid-19 ini setelah diyakinkan oleh pihak berkaitan bahawa tiada elemen haiwan terkandung di dalamnya. Pengambilan vaksin ini adalah bertujuan mencegah jangkitan virus Corona yang mengancam kesihatan awam dan boleh menyebabkan kematian.

UTUSAN: Bagaimana penerimaan terhadap vaksin daripada perspektif Islam?

WAN SALIM: Agama Islam mewajibkan umatnya mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelak daripada terkena jangkitan penyakit, malah memelihara nyawa termasuk salah satu daripada matlamat syariah. Menolak pengambilan vaksin bererti mendedahkan diri kepada bahaya sedangkan sikap sebegini dilarang syarak seperti yang difahami daripada ayat al-Quran, surah Al-Baqarah Ayat 195 di samping beberapa hadis yang melarang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

UTUSAN: Nasihat kepada mereka yang masih ragu-ragu atau menolak vaksin.

WAN SALIM: Saya ingin menasihatkan masyarakat Islam di negara ini supaya tidak terpengaruh dengan ajakan golongan jahil yang anti vaksin. Percaya­lah kepada keputusan yang telah dibuat oleh muzakarah kerana keputusan ini dibuat berdasarkan kajian, bukan diputuskan secara melulu, hanya mengikut andaian-andaian yang tidak ditunjangi alasan atau hujah ilmiah yang kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN