Hamidah dakwa tiada pertemuan - Utusan Malaysia

Hamidah dakwa tiada pertemuan

Hamidah Osman (tengah) meninjau kawasan Tanah Rizab Melayu di Sitiawan yang sebelum ini mencetuskan kontroversi. MINGGUAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman menafikan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mendakwa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri sudah memberi penjelasan kepada Putra berhubung isu penyelewangan tanah rizab Melayu di negeri itu.

Hamidah berkata, tiada pertemuan yang dibuat dengan mana-mana pihak termasuk PTG serta Menteri Besar, sambil menyifatkan kenyataan Saarani sebagai satu usaha ‘menyapu isu tanah rizab Melayu ke bawah karpet’.

“Untuk makluman, saya tidak berjumpa pun dengan PTG atau pihak Menteri Besar baru-baru ini, seperti didakwa. Kali terakhir pertemuan dengan PTG ialah pada 6 Oktober tahun lalu. Waktu itu, saya berjumpa dengan Pengarah, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam pertemuan itu yang turut dihadiri adik saya, Datuk Fariz mengaku bahawa memang berlaku kesilapan, dan dia sebut pada saya, sebagai manusia, kita tidak lari daripada membuat silap. Itu kali terakhir saya jumpa, jadi bagaimana Menteri besar boleh keluarkan kenyataan yang tak tepat?

“Persoalannya, kenapa kerajaan negeri dan PTG seolah-olah mahu berdolak-dalik, adakah demi nak menyapu isu ini ke bawah karpet? ” soalnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Pada masa sama beliau berkata, usaha untuk membincangkan perkara itu dengan Menteri Besar juga menemukan jalan buntu, apabila sehingga kini tiada sebarang pertemuan yang berjaya diatur.

“Di pihak Menteri Besar pula sampai sekarang masih tiada maklum balas untuk berbincang. Saya rasa, Menteri Besar tidak memahami isu sebenar dan saya yakin berita yang saya dedahkan dalam Mingguan Malaysia pada 24 Januari lalu tidak pun dibaca.

“Sekiranya beliau membaca, sudah pasti beliau akan memahami apakah isu sebenarnya yang berlaku. Kita tidak menafikan status tanah itu masih tanah rizab Melayu, tapi persoalannya kenapa ia dimiliki oleh bukan Melayu tanpa proses pembatalan dan penggantian yang mengikut Enakmen Rizab Tanah Melayu,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN