Doktor ajak rakyat tolak dakwaan antivaksin - Utusan Malaysia

Doktor ajak rakyat tolak dakwaan antivaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: “Tolonglah jangan terlalu percaya penulisan antivaksin Covid-19 dalam media-media sosial, sebaliknya mak­­lumat ber­kenaan vaksin ter­se­but dapatkanlah daripada sumber yang betul.”

Begitulah rayuan Dr. Muhammad Faiz Ahmad, 31, petugas Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang menjadi antara individu daripada kumpulan pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dijangka pada Jumaat ini.

Katanya, kebelakangan ini, maklumat dalam media sosial khususnya daripada kumpulan antivaksin mengarut termasuk dakwaan kononnya vaksin tersebut adalah agenda pihak tertentu.

Jelasnya, semua maklumat tersebut adalah tidak benar.

“Ramai sangat saya tengok sekarang di media-media sosial ini yang mempertikai vaksin tersebut. Hendak baca pasal vaksin yang betul, peroleh daripada sumber yang benar-benar layak seperti Kementerian Kesihatan, pakar-pakar dan pihak berkaitan.

“Nasihat saya, bagi sesiapa yang layak menerima suntikan vaksin tersebut, ambil tanggungjawab tersebut bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya untuk kebaikan keluarga dan insan tersayang.

“Marilah sama-sama kita membantu negara dalam usaha memerangi Covid-19 ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kumpulan pertama dos vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech tiba di Perlis semalam, dan pemberian vaksin di negeri ini melibatkan tiga fasa iaitu pertama membabitkan kira-kira 8,000 petugas barisan hadapan merangkumi petugas kesihatan, polis, bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan guru bermula bulan ini hingga April.

Fasa kedua yang bermula April hingga Ogos pula melibatkan kumpulan berisiko tinggi terma­suk warga emas dan mempunyai penyakit kronik iaitu kira-kira 94,000 individu.

Seterusnya fasa ketiga melibatkan kira-kira 100,000 penduduk di negeri ini yang terdiri daripada golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas

Muhammad Faiz berkata, dia menerima tanggungjawab sebagai kumpulan terawal menerima suntikan vaksin tersebut.

“Ia adalah pengorbanan kami sendiri selain untuk kepentingan masyarakat yang lain. Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan lancar,” katanya yang terlibat secara langsung dalam merawat dan menangani Covid-19 di negeri ini sejak lebih setahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN