KUALA LUMPUR: Usul yang dikemukakan oleh perwakilan bahagian UMNO di seluruh negara berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu diterima dan dipertimbangkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Lagi pula tidak pernah berlaku dalam sejarah parti itu usul bertaraf ‘nasional’ dari bahagian ditolak oleh MT dan tidak dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO.
Jika usul itu diterima di peringkat perhimpunan agung, maka ia akan membuka jalan kepada Pilihan Raya umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Vete-ran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, usul penolakan terhadap Bersatu yang diluluskan oleh 189 bahagian adalah isu nasional melibatkan kelangsungan parti orang Melayu itu.
“Kebiasaannya usul ada tiga kelompok iaitu yang dibahaskan, usul tidak dibahaskan dan usul dipanjangkan.
“Seingat saya tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO, MT menolak sesuatu usul bertaraf nasional.
“Penolakan terhadap Bersatu adalah perkara nasional, bukan bersifat setempat.
“Andai Presiden sendiri mendesak PRU-15 segera, maka usul ini perlu diluluskan pada perhimpunan agung kerana ia adalah kunci sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang atau Dewan Rakyat dibubarkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, akar umbi UMNO memberi isyarat jelas menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu.
Utusan Malaysia difahamkan, daripada 191 bahagian UMNO yang selesai bersidang, sebanyak 189 daripadanya mengusulkan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu.
Hanya dua bahagian yang menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan Bersatu iaitu satu di Kelantan dan satu lagi di Perlis berdasarkan kepada kenyataan kedua-dua pemimpin daripada bahagian tersebut.
Sementara itu, berhubung untung nasib Pas dalam memilih wadah terbaik sama ada Muafakat Nasional (MN) atau PN, geostrategis, Azmi Hassan berpendapat, parti yang menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah itu lebih selamat jika bersama UMNO.
Beliau berkata, dari segi strategik, Pas perlu berada dalam MN berbanding PN jika diandaikan UMNO tidak bersama PN.
Tambahan pula, Pas dan UMNO sebelum ini sudah mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi yang mana kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kekal menjadi milik masing-masing.
“Serupa juga dengan UMNO, adalah lebih strategik pertembungan dengan Pas dielak dan tidak begitu mudarat jika terpaksa bertembung dengan Bersatu,” jelasnya.
Dalam pada itu, berhubung langkah UMNO untuk memasuki gelanggang pilihan raya sekiranya memilih untuk berseteru dengan Bersatu, pensyarah kanan di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat akan memasuki PRU-15 secara bersendirian.
Jelasnya, potensi kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Plus juga hampir mustahil kerana rata-rata pemimpin dan ahli begitu alah dengan DAP.
“Mengenai kerjasama UMNO dan PH Plus ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata sukar untuk UMNO bekerjasama kerana pendirian UMNO tidak menerima DAP adalah jelas.
“Tetapi jika percaturan baharu ini perlu diterokai, maka UMNO akan merujuk kepada akar umbinya sebelum membuat keputusan muktamad,” ujarnya. – UTUSAN









