Tangguh sekolah, kecuali calon SPM, STPM - Utusan Malaysia

Tangguh sekolah, kecuali calon SPM, STPM

RAMAI berpendapat kerajaan wajar menangguhkan sesi persekolahan 2021 berikutan peningkatan kes Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menangguhkan sesi persekolahan tahun ini yang dijadual pada 20 Januari kepada satu tarikh lain berikutan kebimbangan orang ramai terhadap peningkatan kes Covid-19 yang mendadak sejak akhir-akhir ini.

Penangguhan jadual persekolahan baharu itu wajar me­rangkumi Tahun Satu hingga tingkatan empat kecuali calon-calon yang menduduki pepe­riksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mana mereka sepatut mendudukinya tahun lalu.

Semalam, angka positif Co­vid-19 di negara ini mencatat 2,451 kes dan lima kematian dengan keseluruhan 133,559 kes dan 542 kematian setakat ini.

Langkah menangguh sesi persekolahan dikatakan jalan terbaik mengurangkan risiko jangkitan kepada pelajar, malah dianggap sesuatu yang perlu dilaksanakan.

Malaysia buat pertama kalinya mencatatkan kes harian tertinggi 3,027 kes Khamis lalu, yang disifatkan banyak pihak sebagai membimbangkan, sekali gus mengundang ramalam banyak pihak ura-ura kerajaan akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya perlu menunggu pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 terlebih dahulu.

Sehubungan itu, beliau enggan mengesahkan sama ada sesi persekolahan akan diteruskan mengikut jadual atau perlu ditangguhkan.

“Komitmen kita adalah untuk sekolah dibuka, tetapi masih perlu mengambil kira perkembangan semasa. Penjelasan lanjut secara terperinci akan saya buat sejurus pengumuman Perdana Menteri pada Isnin ini,” katanya.

Namun Presiden Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-GURU), Mohd. Azizee Hasan berkata, keputusan menangguhkan sesi persekolahan jika dilakukan perlu mengambil kira bagaimana menggantikannya pada waktu lain.

“Kementerian Pendidikan (KPM) perlu pelan kontingensi dan transisi berdepan dengan apa jua situasi yang mungkin berlaku. Pihak i-Guru, saya yakin bahawa KPM telah membuat persedian yang baik dan secukupnya.

“Pun begitu, jika ingin meneruskan sesi pembukaan sekolah, saya mencadangkan agar pembukaan dilakukan kepada calon-calon yang bakal menduduk peperiksaan awam terlebih dahulu seperti SPM dan STPM dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat atau berdasarkan garis panduan tertentu berkenaan operasi pembukaan sekolah secara fizikal.

“Bagi pelajar lain, mereka boleh meneruskan pembelajaran di rumah terlebih dahulu sehinggalah keadaan kembali membenarkan untuk sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

November tahun lalu, Dr. Radzi Jidin mengumumkan bahawa penggal persekolahan bagi semua murid sekolah rendah, sekolah menengah (Tingkatan 1, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5) dan pra-universiti akan bermula pada 20 Januari ini.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, KPM wajar diberi ruang untuk mengumumkan penjadua­lan sesi persekolahan yang baharu sekiranya berlaku perubahan kepada tarikh asal ekoran masalah pandemik Covid-19.

“Sekiranya pengumuman Perdana Menteri pada esok adalah bagi mengumumkan pelaksanaan semula PKP, harapnya jadual pembukaan sesi persekolahan yang baru turut di­umumkan,” katanya.

Mohamad Ali mencadangkan hanya pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM dibenarkan hadir ke sekolah.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, penangguhan membabitkan murid Darjah Satu hingga Tingkatan Empat perlu.

“Bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM, mereka perlu dibenarkan untuk belajar di sekolah.

“Ini kerana, apabila belajar secara dalam talian, pem­belajaran tidak maksimum dan kesian kepada mereka kerana bakal menduduki peperiksaan,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN