Muhyiddin tetap Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Muhyiddin tetap Perdana Menteri

PENGUSAHA tanaman hiasan, Mohd. Riban Zainon, 48, (tengah) dan pekerja-pekerjanya menonton Perutusan Khas Darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Nerang, Kedah, semalam. Perintah darurat dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos berikutan penularan pandemik Covid-19 yang semakin mengancam nyawa rakyat negara ini. – UTUSAN/SHAHIR NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muh­yiddin Yassin masih kekal sebagai Perdana Menteri sepanjang tempoh pelaksanaan darurat walaupun ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diterajuinya.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, se­kalipun ahli Parlimen yang me­­narik diri menyebabkan Muh­yiddin hilang kepercayaan sebagai ketua kerajaan, namun selagi ia belum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuktikan sokongan yang dimiliki, maka selagi itulah ke_dudukan beliau tidak tergugat.

“Mereka yang mengumumkan menarik diri menyokong PN hanya berlaku se­cara lisan dan di luar sahaja. Hanya Seri Paduka yang boleh menentukan sama ada Perdana Menteri itu hilang kepercayaan atau sebaliknya.

“Kalau betullah Muhyiddin tidak dapat keper­ca­yaan wakil rakyatnya, sembahkan kepada Seri Paduka supaya baginda dapat menentukan bahawa beliau sudah hilang sokongan majoriti.

“Cuma masalahnya sekarang ialah, perkara tersebut belum sampai ke tahap itu lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Pengisytiharan Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala pandemik Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan Istana Negara memaklumkan Seri Paduka turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika jumlah kes positif Covid-19 ha­rian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Pada hari sama selepas pengisytiharan itu, bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Moha­med Nazri Aziz dalam satu sidang media mengumumkan menarik sokongannya kepada Muhyiddin sekali gus mendakwa bahawa beliau tidak lagi memiliki sokongan majoriti di Parlimen.

Menurutnya, langkah itu diambil selepas beliau berfikir panjang dan berasakan ia adalah jalan yang terbaik untuk UMNO.

Pada awalnya, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Raza­leigh Hamzah mengambil langkah sama diikuti Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik diri daripada menyokong kerajaan PN atas dasar memperjuangkan prinsip partinya serta maruah Barisan Nasional (BN) dan bukannya kepentingan peribadi.

Ditanya jika selepas ini lebih ramai lagi ahli Parlimen dalam kalangan parti sehaluan terutama UMNO yang tidak mahu menyokong kerajaan sedia ada sekaligus membawa kepada kejatuhan Muhyiddin, jawapan Abu Talib tetap menegaskan ia tetap terpulang kepada Agong.

“Terpulang pada Agong. Yang penting sama ada Agong puas hati atau tidak (setelah Perdana Menteri mempersembahkan sokongan ahli Parlimen),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN