Mengapa darurat dilaksana? - Utusan Malaysia

Mengapa darurat dilaksana?

PEKERJA Syarikat Al-Isra Associates Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor mengemas peralatan pejabat untuk dibawa pulang, semalam sebagai persediaan bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa hari ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pandemik Covid-19 yang menjadi ancaman besar terhadap kehidupan ekonomi rakyat di negara ini merupakan asas pertimbangan utama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat pengisytiharan darurat berkuat kuasa sehingga 1 Ogos ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain peningkatan mendadak kes positif Covid-19, terdapat beberapa negeri sedang mengalami bencana banjir sekali gus turut merisikokan keselamatan dan kehidupan ekonomi rakyat.

Kata beliau, kerajaan mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan Covid-19 dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan kepada rakyat tidak lumpuh.

Menurutnya, setelah mempertimbangkan nasihat Kabinet, Seri Paduka berpuas hati adanya keperluan mengeluarkan Proklamasi Darurat bagi membolehkan ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu mengekang berlakunya penularan lebih serius Covid-19.

“Ingin saya tegaskan darurat yang diisytiharkan Seri Paduka bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera. Perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.

“Sebaliknya sepanjang tempoh darurat ini, kerajaan awam akan terus berfungsi. Dari segi pentadbiran kerajaan, Kabinet dan majlis mesyuarat kerajaan negeri-negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka dari semasa ke semasa,” katanya dalam perutusan khas darurat di sini semalam.

Menurut Perdana Menteri, sepanjang tempoh itu, jika Seri Paduka berpuas hati ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu mengambil tindakan serta-merta, maka Seri Paduka boleh memasyhurkan apa-apa ordinan mengikut kea­daan semasa.

Beberapa Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan Seri Paduka antaranya:

» Penglibatan pihak swasta termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban ditanggung agensi kerajaan terutama hospital awam bagi merawat kes Covid-19.
 Hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta.
 Meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti fasiliti kesihatan swasta.

» Memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik.

» Memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain kuasa sedia ada.

» Mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada PDRM di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau mana-mana undang-undang penguatkuasaan lain berkaitan.

» Memperuntukkan kuasa kepada ATM untuk membantu melaksanakan fungsi-fungsi berhubung kesihatan awam dan fungsi-fungsi yang dijalankan pegawai awam berkaitan semasa pandemik ini.

» Aspek kawalan sempadan negara diperketatkan dengan memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sesiapa sahaja yang menceroboh sempadan negara.

» Meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan akta ini dalam membendung penularan Covid-19.

» Meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan Covid-19.

» Memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa pandemik.

» Kuasa eksekutif Persekutuan meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan negeri kecuali bagi apa-apa perkara hukum syarak atau adat Melayu.
 Ini termasuk mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Sabah atau Sarawak, agama, kewarganegaraan dan bahasa, selaras dengan Fasal 6A Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN