Kos haji dijangka kekal - Utusan Malaysia

Kos haji dijangka kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos mengerjakan ibadah haji dijangka kekal pada kadar RM9,980 seorang mengambil kira senario mencabar akibat pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini.

Walau bagaimanapun, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff memberitahu, segala bentuk perbincangan sama ada kekal atau sebaliknya, masih belum dibincangkan dengan kerajaan.

Ini kerana kata beliau, belum ada pengumuman rasmi dan jelas mengenai pelaksanaan ibadah haji tahun ini daripada kerajaan Arab Saudi.

Nik Mohd. Hasyudeen turut menjelaskan kos RM9,980 seorang ditanggung jemaah yang ditetapkan sejak 2011 masih dikira rendah memandangkan kos sebenar telah pun mencecah sehingga RM24,000.

Beliau berkata, TH akan berusaha sebaik mungkin untuk mengawal peningkatan kos, pada masa sama mengekalkan kualiti perkhidmatan ditawarkan kepada jemaah.

“Memang ada tekanan pertambahan kos yang biasanya kita akan bincang dengan kerajaan. Namun begitu, mengambil kira keadaan Covid-19 ketika ini, kita kena bersedia untuk menanggung (kos).

“Berdasarkan keadaan semasa mungkin tiada pertambahan kos kepada jemaah tetapi kepada kami. Kita kena realistik cuma perkara ini perlu perbincangan mendalam,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, Nik Mohd. Hasyudeen menjelaskan, jumlah ‘subsidi’ sebanyak RM13,000 seorang jemaah diambil daripada sebahagian keuntungan yang diraih menerusi pelaburan hasil simpanan pendeposit.

“Selain mengisi jurang kos haji dan bayaran sebenar itu, TH juga menggunakan keuntungan itu untuk membayar zakat perniagaan dan menanggung kos pengurusan TH.

“Ia sekali gus menyaksikan kos jemaah itu ditanggung secara bersama oleh semua pendeposit,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Mohd. Hasyudeen turut memberitahu, jemaah yang telah terpilih untuk melaksanakan ibadah haji tahun lalu akan diberi keutamaan sekiranya ibadah haji dapat dilaksanakan tahun ini.

Namun begitu, beliau turut menjelaskan perkara tersebut masih ‘samar’ kerana tiada apa-apa pengumuman daripada kerajaan Arab Saudi hingga setakat ini.

Beliau menjelaskan mengambil kira ketetapan kerajaan Arab Saudi berhubung ibadah umrah yang melibatkan had umur dan tahap kesihatan, kemungkinan besar syarat sama akan dipakai untuk haji tetapi semuanya masih belum diumumkan secara rasmi.

“Kita masih tidak pasti sebab itu kita kata akan beri keutamaan, bukannya pasti akan dapat apatah lagi masih belum ada penjelasan mengenai syarat-syarat atau kuota yang ditetapkan,” jelas beliau.

Mengulas mengenai rayuan haji yang mencecah kira-kira 100,000 pemohon, Nik Mohd. Hasyudeen berkata, ia akan mengambil kira pelbagai faktor terutama melibatkan kekosongan.

“Ketika ini hampir tiga juta telah mendaftar haji dengan kuota setiap tahun sebanyak 31,600 tidak mengambil kira kuota tambahan. Atas dasar itu, tempoh menunggu sehingga lebih 100 tahun.

“Namun begitu, tak semua daripada yang ditawarkan itu akan pergi dan dari situ kita buka untuk rayuan. Kita memberi perhatian kepada pelbagai faktor dengan tumpuan utama diberikan kepada mahram kerana wanita berusia 45 tahun perlu ada mahram menemani sepanjang ibadah haji,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN