Kartel dalam PDRM -

Kartel dalam PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan, terdapat rangkaian atau kartel diwujudkan segelintir warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan motif untuk mendominasi pasukan tersebut, bertujuan memudahkan mereka melakukan ‘kerja-kerja kotor’.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, kartel terbabit didalangi oleh pegawai kanan di peringkat pertengahan.

Kata Abdul Hamid, ‘puak-puak’ tersebut merancang untuk memastikan rakan-rakan sekerja mereka sama-sama dinaikkan pangkat, seterusnya mendominasi pucuk pimpinan tertinggi PDRM pada masa depan.

Matlamat akhir mereka ialah seluruh pasukan itu dapat dikawal bagi memastikan sebarang kegiatan berunsur jenayah yang dilakukan dapat disembunyikan.

“Saya tahu perkara ini berlaku, mereka ini akan wujudkan rangkaian-rangkaian sesama sendiri. Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, apabila mereka pula menjadi pegawai atasan dan mempunyai kuasa, mereka mula buat kerja-kerja tidak senonoh termasuk bersekongkol dengan penjenayah di luar sana.

“Saya pandang serius perkara ini dan saya akan pastikan gejala ini disekat dan tidak berlaku dalam PDRM. Saya tahu ada dalam kalangan mereka yang tidak sabar me­nunggu saya berhenti,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagaimanapun, kata Abdul Hamid, meskipun terdapat segelintir pegawai dan anggotanya terpalit dalam kes-kes melibatkan integriti sejak kebelakangan ini, tahap prestasi kerja dalam PDRM masih utuh.

Malah, beliau berterima kasih kepada masyarakat yang turut menjadi pemantau de­ngan mendedahkan kegiatan-kegiatan tidak bermoral pegawai dan anggotanya.

“Saya sedia mendengar apa jua aduan orang ramai tentang salah laku warga polis. Saya akan pastikan siasatan yang adil akan dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan tindakan diambil sekiranya salah laku itu terbukti berlaku,” ujarnya.

Tegas Abdul Hamid, kunci utama setiap pegawai serta anggota polis untuk sentiasa disegani dan disanjung tinggi ialah niat dan disiplin mereka.

Justeru, memasuki tahun baharu 2021, beliau mengimpikan supaya semua anak buah­nya mengekalkan tahap disiplin yang tinggi, sekali gus mengembalikan kegemilangan pasukan dengan setiap pegawai dan anggota polis disanjung serta dipandang tinggi oleh masyarakat.

“Cukup saya katakan, cara kerja warga PDRM tahun ini meningkat 60 peratus dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di samping melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.

“Jika dahulu, terdapat budaya dalam PDRM yang mana pegawai dan anggotanya ‘berlagak’ kononnya mereka mempunyai kuasa tetapi kini, perbuatan tidak baik itu tidak lagi berlaku.

“Saya juga se­ring mengingatkan kepada mereka agar tidak melengahkan apa sahaja siasatan yang dijalankan selain jangan sesekali mengambil tindakan mengikut kaum atau agama tertentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN