Nampaknya ramai yang tersenyum lebar bila duit ‘bantuan hayat’ i-Sinar dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah mula dimasukkan ke akaun masing-masing.
Bersinar-sinar wajah masing-masing ya termasuklah wajah geng pemandu e-hailing. Dapatlah membantu kehidupan dan membayar apa yang perlu, terutama dalam keadaan sekarang yang masih berperang dengan pandemik Covid-19.
Dalam perjalanan membawa seorang pemuda berusia awal 30-an menuju ke Wangsa Maju baru-baru ini, sengaja saya ajak bersembang mengenai i-Sinar. Saya bertanya kepadanya sama ada memohon atau tidak bantuan tersebut.
“Mestilah mohon. Rugilah tak mohon. Dah dapat pun separuh duitnya. Alhamdulilah,” katanya gembira. Seterusnya saya tanya, apa rancangan bakal dibuat menggunakan duit tersebut.
“Pertama sekali, saya kenalah pulang balik hutang piutang saya dengan adik beradik dan kawan-kawan. Saya kena berhenti kerja sebab syarikat tutup dua tahun lepas.
“Syarikat bayar dua bulan gaji saja. Merata cari kerja tak dapat. Saya pula bukan ada kelulusan tinggi. Sudahnya saya tolong pakcik jual ikan di pasar. Sambil itu saya mohon jadi Grab Rider.
“Tapi itulah, motor pula bukan motor baharu. Memanjang semput. Itu yang rasa nak beli motor baru juga ,” kata pemuda bernama Zul ini sambil ketawa berderai.
Saya ikut tertawa. Sengaja saya memberi soalan perangkap. “Ke awak nak kahwin?” Usik saya.
“Mana boleh, duit banyak ini perempuan pun tak pandang. Kerja pun masih huru-hara kak, nanti tak makan pula anak orang,” kata Zul ketawa lagi.
“Masa nilah sesuai kahwin. Buat majlis ringkas pun orang tak kisah. Orang tak kecil hati kalau tak dijemput. Sekaranglah waktu paling sesuai nak berjimat.. Kenalah ambil kesempatan,” ujar saya ‘mencucuk’.
“Kalau ada girlfriend memang saya ajak kahwin dah tapi sekarang ni, belum ada lagi. Sebenarnya saya ada juga rancang nak berniaga burger waktu malam. Kawasan tempat tinggal saya macam strategik juga.
“Itu yang nak kena asingkan modal dulu. Saya pun terfikir nak berniaga online. Nak jual baju bundle. Tapi tu la, macam-macam nak buat pada hal duit setakat itu saja,” katanya.
Dalam hati saya berkata, rajin adik ini. Dia pun membuat perancangan yang baik dengan duit i-Sinar, sama seperti nasihat ikon KWSP, Elya.
“Tak nak tukar handphone baru ke? Ramai orang muda macam awak nak beli handphone baru,” sekali lagi saya sengaja membuat provokasi.
“Saya langsung tak terfikir kak. Pakai saja apa yang ada.Saya sekarang nak upgrade hidup saya semula. Duit ini bagi saya memang talian kecemasan kepada orang terdesak macam saya. Ramai lagi kawan senasib saya. Yang dah berkeluarga lagi kasihan. Mujur saya bujang lagi, jadi saya fokus untuk diri sendiri saja,” kata Zul bersemangat.
Apa pun saya percaya, setiap penerima i-Sinar pasti tahu kepentingan dan kegunaan wang tersebut dalam keadaan sekarang. Pasti ramai yang tak mahu joli sakan dan membazir tak tentu hala.
Yang penting, tepuk dada tanya selera. Jangan nanti, dah habis minta lagi dari kerajaan ya!









