189 UMNO Bahagian tolak Bersatu - Utusan Malaysia

189 UMNO Bahagian tolak Bersatu

AHMAD Zahid Hamidi merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datuk di Perak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akar umbi UMNO memberi isyarat jelas menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ini berdasarkan keputusan 189 daripada 191 bahagian yang selesai bermesyuarat semalam membawa usul menolak sebarang kerjasama antara kedua-dua parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Utusan Malaysia difahamkan, 191 bahagian yang selesai bersidang, sebanyak 189 daripa­danya mengusulkan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu.

Hanya dua bahagian yang me­nyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan Bersatu iaitu satu di Kelantan dan satu lagi di Perlis berdasarkan kepada kenyataan kedua-dua pemimpin dari bahagian tersebut.

Perkara itu secara jelas ‘meng­iyakan’ dakwaan penuh kontroversi yang dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi sebelum ini bahawa 145 bahagian enggan melihat parti itu meneruskan kerjasama berkenaan.

Inti pati daripada mesyuarat UMNO bahagian seluruh negara melibatkan Wanita, Pemuda dan Puteri yang berakhir semalam, sedikit sebanyak telah memberi tamparan hebat buat kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Manakan tidak, UMNO bahagian Pagoh secara terbuka mengumumkan enggan memberi laluan mudah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRU-15.

Difahamkan, kepemimpinan bahagian memutuskan akan meletak calon bertanding dalam apa jua keadaan di kerusi Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pagoh.

Jika kerusi Parlimen yang di­sandang pemimpin nombor satu negara seperti Muhyiddin pun tidak diberikan muka, bagaimana pula dengan 15 kerusi Parlimen yang dahulunya dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

Sementara itu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 143 daripada 191 Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau berkata, ia adalah hasil dapatan daripada tinjauan yang dilakukan menerusi kumpulan WhatsApp Ketua Bahagian UMNO.

“Sebagai Presiden UMNO, saya menghormati jika keputusan 143 ketua bahagian itu kemudian dijadikan usul secara rasmi di peringkat perwakilan bahagian, ertinya itu adalah usul yang harus dikaji dan diterima oleh UMNO Malaysia,” katanya pada sidang media selepas me­rasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini semalam.

Menurut Ahmad Zahid, semua usul itu nanti akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang kemudian akan membuat ketetapan sama ada akan menerimanya atau tidak.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata, UMNO perlu membina kekuatannya sendiri, namun tidak sampai menolak kerjasama dengan Bersatu.

“Kita akan letak kita punya kehendak, kalau andai kata semua bersetuju mengapa tidak, lebih ramai lebih baik, kalau bersama lagi kuat, daripada kita terang-terang terus menolak.

“Berfikir biar panjang, bertindak biar bijak, fikir panjang-panjang buruk baiknya, memang semangat bahagian nak menolak, masing-masing cemburu hati sebab semua nampak mahu bertanding nak jadi calon,” katanya.

Walau bagaimanapun, Ke­tua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menjelaskan, kesemua usul daripada 191 bahagian akan dibincangkan oleh MKT sebelum membuat sebarang ketetapan termasuk usul kerjasama dengan Bersatu.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kepemimpinan tertinggi akan mengambil kira semua suara akar umbi.

“Jumlah bahagian yang menolak kerjasama agak besar jumlahnya dan sebab itu kita tunggu semua 191 bahagian selesai bersidang sebelum membuat ketetapan,” katanya.

Dalam pada itu, lain pula kisahnya dengan UMNO Bahagian Bera yang mengusulkan untuk menolak sebarang kerjasama politik dengan DAP dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usul yang dibawa Ketua Pene­rangan UMNO Bahagian, Mohd. Zoolihsan Ahmad dite­rima dengan sebulat suara oleh para perwakilan.

Ketuanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu selari dengan pendirian diputuskan oleh MKT sebelum ini iaitu No DAP dan No Anwar.

“Hanya kuasa politik Melayu Islam dapat menjaminkan kesinambungan pembelaan yang berterusan kepada agama dan orang Melayu di bumi Malaysia agar kaum Melayu dan Islam akan terus kekal serta berma­ruah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan, UMNO mampu bergerak sendiri tanpa perlu menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti termasuk Bersatu.

“UMNO dah ada BN, ada Muafakat Nasional (MN), kenapa nak kena masuk sana lagi? Di Sabah baru-baru ini pun ada gagasan. Gagasan jaga pagar ke apa? Banyak sangat nama sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN