KANGAR: Penyeludup yang menggunakan laluan laut di perairan Kuala Perlis di sini menunggu keadaan air surut sehingga 0.3 hingga 0.5 meter khususnya pada waktu tengah malam bagi melakukan aktiviti haram tersebut sekali gus menyukarkan pergerakan bot pihak berkuasa mendekati mereka.
Bagaimanapun, langkah penyeludup itu sentiasa berada dalam perhatian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terus memperketatkan kawalan dengan melakukan rondaan setiap hari bagi mengekang aktiviti penyeludupan itu.
Aktiviti penyeludup yang menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut 30 kuasa kuda (hp) hingga 60 hp itu selalunya tertumpu di lokasi tumpuan di sempadan Bukit Batu Putih berhampiran kawasan paya bakau yang memudahkan mereka melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Malah, faktor jarak dekat iaitu hanya mengambil masa sekitar 10 minit dari muara Kuala Perlis ke sempadan Thailand memudahkan penyeludup melakukan aktiviti haram tersebut.
Jarak antara perairan negara dari muara Kuala Perlis ke sempadan Thailand hanya kira-kira 1.3 batu nautika.
Difahamkan kegiatan penyeludupan daun ketum dan dadah ke negara jiran kini beralih arah ke laluan laut di Kuala Perlis berikutan kawalan ketat di sempadan darat Malaysia-Thailand di Padang Besar.
Utusan Malaysia yang berpeluang mengikuti rondaan bersama Maritim Malaysia di perairan Perlis termasuk Kedah menggunakan Bot Benteng agensi itu meninjau lokasi-lokasi tumpuan penyeludup di perairan di sini.
Rondaan hampir dua jam itu, turut dibawa ke laluan di mana rampasan dadah dan daun ketum bernilai RM1.02 juta baru-baru ini.
Tinjauan mendapati, kawasan sempadan paya bakau di Bukit Batu Putih menjadi antara laluan utama penyeludup ketum dan dadah memindakan barangan tersebut ke bot lain.
Antara laluan lain yang menjadi tumpuan penyeludup melibatkan laluan Pulau Kunyit Thailand dan Tanjung Dendang, Pulau Langkawi, Kedah.
Difahamkan, aktiviti tersebut turut dibantu segelintir nelayan tempatan yang mampu menjana pendapatan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Perlis, Leftenan Maritim Mohd. Fazmin Shah Md. Rafee Shah berkata, kawalan ketat di sempadan darat menyebabkan penyeludup akan mula beralih arah ke laluan laut.
Bagaimanapun katanya, pihaknya akan sentiasa mengetatkan kawalan dan rondaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan ini.
“Penyeludup selalunya akan keluar dari Kuala Perlis atau Kuala Sanglang bagi menghantar barang seludup ke kawasan sempadan. Kita tidak tolak kemungkinan peranan tonto (penduduk tempatan) yang menyalurkan maklumat kepada penyeludup di tengah laut.
“Selalunya, apabila penyeludup tidak sempat lolos mereka akan meninggalkan bot dan lari di kawasan paya bakau di Bukit Batu Putih ini,” katanya.
Pada 24 November lalu, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban dalam pertempuran dengan 13 penyeludup kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos kawalan TS9, Padang Besar.
Berikutan itu, pasukan keselamatan mempertingkatkan kawalan di ke sempadan Malaysia-Thailand dengan mengerakkan kira-kira 500 kekuatan daripada pelbagai unit bagi mempertahankan sempadan negara dari diceroboh. – UTUSAN ONLINE










