IPOH: “Boleh tanya SADC, mereka boleh menjawab,”.
Demikian kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditanya mengenai tuduhan penjualan ladang kelapa sawit milik kerajaan negeri kepada syarikat Singapura antara sebab UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau.
Menurut Ahmad Faizal, (Perbadanan Pembangunan Pertanian PPPNP) atau SADC yang boleh menjawab tuduhan berkenaan.
“Berkenaan dakwaan Najib, boleh tanya SADC. They can answer,” katanya melalui pesanan aplikasi Whatsapp kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mengenai lain-lain tuduhan terhadap beliau yang dikatakan menjadi punca disingkirkan, Ahmad Faizal berkata, perkara itu lebih elok tidak dijawab.
“Selain daripada itu (lain-lain tuduhan), elok saya tak jawab. Jaga hubungan baik antara kami. Sorry. Terima kasih,” katanya.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mendakwa penjualan ladang kelapa sawit milik kerajaan negeri kepada syarikat Singapura antara sebab UMNO menarik balik sokongan terhadap Ahmad Faizal.
Kata Najib, ADUN Slim, Allahyarham Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib sebelum ini pernah memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) supaya tidak menjual ladang sawit seluas 15,000 hektar itu.
Ahmad Faizal meletak jawatan menteri besar Sabtu lalu sehari selepas beliau gagal meraih sokongan majoriti daripada ahli dewan dalam undi percaya terhadap beliau ketika sidang DUN pada Jumaat. – UTUSAN ONLINE









