SHAH ALAM: Sebaik sahaja Mahkamah Sesyen di sini, semalam berhenti bersidang, pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 25, yang didakwa atas tuduhan merogol menangis di kandang tertuduh sehingga terpaksa ditenangkan oleh beberapa individu dipercayai rakan-rakannya.
Rakan-rakannya itu juga dilihat memeluk pendakwah selebriti itu yang tidak henti-henti mengesat air matanya menggunakan lengan baju sambil memberikan kata-kata semangat kepada lelaki itu yang terpaksa sambung bermalam di Lokap Beranang ekoran jaminan RM35,000 bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya masih belum dibayar.
Pertuduhan merogol itu merupakan dakwaan ketiga dikenakan terhadap bekas peserta rancangan realiti berbentuk keagamaan semalam.
Menurut peguam belanya, Syed Amirul Syed Edros, penjamin-penjamin anak guamnya akan cuba melunaskan kesemua jumlah jaminan itu selewatnya Isnin ini.
“Penjamin (pengurus dan abang tertuduh) sedang mengumpul wang untuk membayar kesemua jumlah jaminan selewatnya Isnin ini. Tambahan pula, kaunter bayaran jaminan di Mahkamah Petaling Jaya tutup awal hari ini (semalam). Kemungkinan Selasa depan Syed sudah boleh keluar (dari tahanan reman),” katanya ketika ditemui selepas tamat prosiding.
Pada prosiding di Mahkamah Sesyen Shah Alam, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 23 tahun kira-kira pukul 11.35 malam, 11 September 2019 di sebuah unit kediaman di Hyde Tower, I-City, Seksyen 7 di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd. Subian mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan bagi kerana tertuduh telah didakwa atas beberapa pertuduhan dan siasatan masih lagi dilakukan atas beberapa laporan polis yang dibuat terhadap lelaki itu.
“Penahanan tertuduh bukanlah satu hukuman tetapi satu pengasingan bagi mengelakkan tertuduh menghubungi mangsa atau saksi-saksi pendakwaan dalam apa jua bentuk komunikasi,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Syed Amirul Syed Edros memohon agar anak guamnya dibenarkan jaminan kerana tiada sebarang bukti yang menunjukkan Syed Shah Iqmal akan mengganggu mangsa dan saksi serta melarikan diri.
Terdahulu, di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pendakwah muda itu juga didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul mangsa yang sama dan dituduh mengikut Seksyen 354 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 3 dan 4 pagi, 17 Oktober lalu di rumah sewanya di Empire City, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana dekat sini.
Pendakwaan di Petaling Jaya dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha dan Zamriah Zarifah Aris.
Hakim Mahkamah Sesyen, Faiz Dziyauddin menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan turut memerintahkan tertuduh untuk melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan dan dilarang menganggu mangsa sehingga kes selesai.
Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir pula menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin. Abang tertuduh hadir sebagai penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Kedua-dua mahkamah di Petaling Jaya menetapkan dengan seorang penjamin 19 Februari tahun depan untuk sebutan kes dan penyerahan dokumen. – UTUSAN ONLINE









