Sultan Nazrin: Kegagalan pemimpin - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin: Kegagalan pemimpin

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah dalam Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam. – GAMBAR PEJABAT SUK PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Tiga kali istiadat pelantikan Menteri Besar Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri Perak, bukan sejarah yang mahu dibanggakan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perkara itu tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan seseorang pemimpin.

“Ia cerminan kegagalan ke­pemimpinan dalam kalangan ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rak­yat,” titah ba­ginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian dalam Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak ke-14 di Istana Iskandariah, di sini semalam.

Sultan Nazrin turut mengingatkan pemimpin bahawa semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin jauh panda­ngannya dari bumi tempat ka­kinya pernah berpijak.

“Sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata tidak lagi dikota atau kata akan bertukar nada, berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam.

“Watak sebenar insan akan terpamer apabila seseorang telah memiliki kekayaan dan harta lalu lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, punca kuasa yang dimiliki adalah bersumberkan Allah SWT akan mengabdikan seluruh kesetiaan kepada Ilahi.

Titah baginda, seseorang pemimpin akan cekal menegakkan yang makruf, tegas menentang yang mungkar, kekuatannya, perlindungan ke atas dirinya dan benteng ketahanan kepada dirinya datang daripada Ilahi.

“Dia tidak perlu menawarkan sogokan atau imbuhan untuk mendapat sokongan yang belum terjamin berkembar dengan kesetiaan. Begitu juga dia tidak perlu melakukan ugutan atau ancaman untuk membina kekuatan diri kerana kekuatan yang diperoleh secara demikian teramat rapuh sifatnya,” titah baginda.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad me­ngangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak Ke-14 hari ini.

Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang gagal mendapat kepercayaan dalam undi percaya terhadap beliau dalam Sidang DUN pada Jumaat lalu.

Ahmad Faizal melaksanakan tugas Menteri Besar setelah dua kali mengangkat sumpah jawatan iaitu pada 12 Mei 2018 dan dan kali kedua pada 13 Mac 2020. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN