PUTRAJAYA: Selangor mencatat penurunan kes harian tertinggi Covid-19 kepada 435 kes, semalam dengan 344 kes membabitkan kluster-kluster dan saringan kontak rapat.
Kelmarin, Selangor mencatat 823 kes.
Sabah turut menurun kepada 333 kes berbanding 429 kes kelmarin diikuti Kuala Lumpur 131 kes.
Sehingga kini, terdapat 115 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana 65 kes memerlukan bantuan pernafasan manakala kes kematian pula melibatkan empat individu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 1,229 kes positif baharu yang menjadikan jumlah kes di Malaysia sebanyak 83,475 kes.
Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 13,667 kes manakala enam kluster baharu dikesan.
“Sebanyak 191 kluster aktif dipantau dengan 52 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tembok (103 kes), Kluster Seruling (93 kes) dan Kluster Rumah Merah (78 kes),” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengenai enam kluster baharu, Dr. Noor Hisham berkata, Kluster Hujung Pasir membabitkan tempat kerja di Labuan yang mana lima kes dikesan selepas 143 individu disaring.
Katanya, Kluster Lestari berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi di Petaling, Hulu Langat, Klang dan Sepang, Selangor serta Lembah Pantai, Kuala Lumpur, seramai 351 individu disaring dan 31 kes positif.
“Kluster Desa Idaman berkaitan dengan keagamaan di Kulai, Johor, sebanyak lapan kes manakala Kluster Tapak Bina Rimbun membabitkan tempat kerja di Seremban, Negeri Sembilan, seramai 206 individu disaring, di mana 16 kes positif.
“Kluster kelima iaitu Kluster Tanjung Suria berkaitan tempat kerja iaitu dua buah kilang melibatkan Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor, Selangor, seramai 8,480 individu disaring dengan 31 kes dikesan positif dan Kluster Kuala yang turut berkaitan tempat kerja di Kuantan, Pahang, seramai 26 individu dengan semuanya disahkan positif,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 1,309 kes dilaporkan sembuh sepenuhnya dengan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 69,393 kes.
Dalam pada itu, beliau berkata, tempoh masa perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada tempoh 14 hari kepada 10 hari, berkuat kuasa hari ini.
Menurut Dr. Noor Hisham, ia juga terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian yang dilaksanakan di pusat kuarantin yang diwartakan atau di tempat kediaman.
Katanya, keputusan ini selaras dengan situasi semasa di negara ini dan laporan klinikal terkini dari seluruh dunia.
“Sehingga kini, beberapa buah negara telah menyemak semula tempoh masa kuarantin wajib di negara masing-masing.
“United Kingdom, Jerman dan Belgium telah menurunkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 10 hari manakala Perancis pula telah mengambil tempoh masa kuarantin wajib selama tujuh hari,” katanya. – UTUSAN ONLINE









