Saarani angkat sumpah MB hari ini - Utusan Malaysia

Saarani angkat sumpah MB hari ini

SAARANI Mohamad melambai ke arah petugas media selepas menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh, semalam. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak Ke-14 sekali gus menamatkan kemelut politik di negeri itu yang berlanjutan hampir se­minggu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Datuk Abd. Rahim Mohamad Nor berkata, Sultan Nazrin memberikan perkenan berpandukan Perkara XVI, Fasal 2 (a), Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

“Pada timbangan baginda, Datuk Saarani boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ADUN untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak.

“Baginda menetapkan 10 Di­sember, esok (hari ini) pukul 11 pagi untuk istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar,” katanya dalam kenyataan yang dibacakan Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini di luar Istana Kinta di sini, semalam.

Terdahulu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mencapai kata sepakat bersama dua lagi rakan sejawatan dalam Perikatan Nasional (PN) Pre­siden UMNO,

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur, semalam bagi mengakhiri kekusutan yang berlaku dalam kalangan tiga komponen tersebut berikutan cadangan pelantikan Saarani sebagai Menteri Besar.

Pertemuan ketiga-tiga pe­mimpin itu turut disertai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dengan kesemuanya memperakukan kesepakatan mengakhiri kemelut berkenaan sejak bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal meraih sokongan majoriti undi percaya dalam DUN Perak.

Perkenan Sultan Nazrin semalam dimaklumkan sebaik sahaja UMNO, Pas dan Bersatu peringkat Pusat mencapai kata sepakat menyokong Saarani sebagai Menteri Besar.

Saarani, 59, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak turut menghadap Sultan Perak semalam dan beliau dijangka mengadakan sidang akhbar di Dewan Jubli Perak di Kuala Kangsar selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan hari ini.

DUN Perak, UMNO mempunyai 25 kerusi, Bersatu lima dan Pas tiga manakala pembangkang – DAP (16), Amanah (lima) dan PKR (tiga), serta masing-masing satu Gerakan dan Bebas.

Dengan sokongan lima ADUN Bersatu, Pas (tiga), ma­sing-masing satu dari Gerakan dan Bebas, PN membentuk kerajaan negeri yang kukuh dengan 35 kerusi manakala pembangkang 24 kerusi.

Sementara itu, keputusan kepemimpinan parti peringkat pusat yang berjaya menyelesaikan kemelut politik Perak di­sambut baik di peringkat ne­geri.

Sebaik sahaja persetujuan peringkat pusat dicapai, empat daripada lima ADUN Bersatu, tiga dari Pas dan seorang Bebas serta dari Gerakan menghadap Sultan Perak dan menyerahkan akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan terhadap Saarani kepada Sultan Perak.

Mereka yang menyatakan sokongan ialah ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Bersatu-Tualang Sekah); Datuk Abdul Yunus Jamahri (Bersatu-Kuala Kurau), Paul Yong (Bebas-Tronoh) dan A. Sivasubramaniam (Gerakan-Buntong).

Selain itu, tiga ADUN Pas, Razman Zakaria (Gunung Semanggol), Mohd. Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Zainol Fadzi ketika ditemui pemberita berkata, Bersatu menyokong Saarani berdasarkan persefahaman yang dicapai di peringkat pusat.

Mengenai Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Zainol berkata, bekas Menteri Besar itu tidak dapat hadir semalam kerana berada di Parlimen dan akan menghadap Sultan Perak selepas ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN