KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi lima kementerian diluluskan Dewan Rakyat setakat semalam.
Dalam proses undian belah bahagian melibatkan Kementerian Perladangan dan Perusahaan Komoditi, 108 ahli Parlimen menyokong, 95 tidak menyokong dan 17 tidak hadir.
Kementerian itu ditentukan menerusi kaedah berkenaan selepas Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan kelmarin.
Pembangkang bagaimanapun menyifatkan kekalahan 5-0 kepada Perikatan Nasional (PN) sama sekali tidak menjatuhkan moral Pakatan Harapan (PH).
Malah, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pembangkang menganggap ia proses kematangan demokrasi berparlimen di negara ini.
Katanya, pembangkang juga sama sekali tidak menolak Belanjawan 2021 secara mutlak, sebaliknya menumpukan perkara yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita akan lihat perincian di setiap kementerian. Ada perkara kita setuju dan ada tidak setuju. Sebab itu kami tidak buat undian belah bahagian Khamis lalu.
“Ini adalah usaha untuk mematangkan proses demokrasi berparlimen di Malaysia. Ini juga adalah cara memahami bukan sahaja denyut nadi rakyat, tapi selaras apa yang dibentangkan dan dicadangkan kerajaan,” katanya di sini semalam.
Sebanyak RM729.39 juta diperuntukan untuk Kementerian Perladangan dan Perusahaan Komoditi iaitu RM476.66 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM252.7 juta pembangunan.
Dalam pada itu bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan untuk tidak menyokong beberapa jawatankuasa termasuk hal berhubung dana Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) serta dana Penggerak Komuniti Negara (Penggerak) .
“Kita putuskan bahawa ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti sokong Belanjawan 2021. Ini termasuk sokongan tanpa berbelah bahagian di peringkat jawatankuasa.Tapi kita tahu ada beberapa kementerian perlu dipinda.
“Namun, butiran belum sampai. Mungkin kita akan cadangkan pindaan yang bukan hanya dua (jawatan kuasa),” ujarnya.
Dalam sesi penggulungan terakhir itu juga menyaksikan kekecohan selepas Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi 1, Willie Mongin didakwa menunjukkan isyarat lucah.
RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi dua kementerian turut diluluskan semalam iaitu Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Luar.
Hari ini, tiga lagi kementerian dijangka menggulung perbahasan iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. – UTUSAN ONLINE










