KUALA LUMPUR: Seramai 10 pengundi di Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas dakwaan menipu dan melanggar tanggung jawab sebagai ahli Parlimen kawasan berkenaan sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang melalui Langkah Sheraton.
Plaintif yang berusia antara 36 hingga 64 tahun memfailkan saman itu pada 27 November lalu di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman, Tetuan Yohendra Nadarajan dengan menamakan Mohamed Azmin sebagai defendan tunggal.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu didakwa membuat pelbagai janji termasuk menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 di bawah tiket parti PKR untuk menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pegawai-pegawai awam yang korup.
Defendan pada pilihan raya itu telah memenangi Parlimen Gombak serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan kemudiannya dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun pada 23 Februari lalu, defendan didakwa telah menyebabkan berlakunya Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH berpecah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Langkah itu juga turut menyebabkan gabungan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri.
Sehubungan itu, plaintif mendakwa janji-janji yang dibuat Mohamed Azmin adalah palsu dan beliau hanya mahu mendapatkan undi serta tidak berusaha untuk memenuhinya.
“Defendan terikat kepada representasi (janji) yang dibuat olehnya dan manifesto PH yang digunakan untuk bertanding, oleh itu beliau tidak boleh bertukar sepenuhnya dengan menyertai kerajaan (sekarang) dengan ahli gabungan BN yang dikutuk dengan keras ketika bertanding dahulu,” ujar plaintif dalam penyataan tersebut.
Oleh itu, kesemua plaintif memohon satu deklarasi bahawa Mohamed Azmin mempunyai tugas fidusiari dan pemegang amanah para pengundi di kawasan Parlimennya dan beliau telah mengingkari, menipu dan memungkiri undi dan sumpah yang dibuat.
Selain itu, plaintif memohon ganti rugi keterlaluan, kos atas dasar asas tanggung rugi (indemnity) dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Berdasarkan semakan di mahkamah, saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Maslinda Selamat, pada Jumaat ini. – UTUSAN ONLINE










