PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat laporan peniaga rokok elektronik (vape) yang mendakwa dipaksa membayar RM20 juta dan menyerahkan sebuah kereta mewah dan motosikal Harley-Davidson miliknya kepada pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang lelaki bergelar Datuk.
Difahamkan, pengadu berusia 32 tahun itu ditahan di rumahnya dekat Wangsa Melawati di ibu negara pada 1 Oktober lalu oleh pegawai SPRM kerana disyaki ada kaitan dengan pengubahan wang haram yang turut membabitkan Addy Kanna dan Alvin Goh.
Pengadu mendakwa dia diminta oleh Datuk berkenaan dan pegawai SPRM menyerahkan RM20 juta dan dua kenderaan mewahnya bagi melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) seperti dikenakan ke atas Alvin dan Addy.
Datuk berkenaan dan penyiasat SPRM terbabit didakwa turut mengugut untuk menahan ibu pengadu jika dia enggan menunaikan permintaan mereka.
Kerana bimbang dengan ugutan tersebut, pengadu mendakwa dia menyerahkan sebuah kereta mewahnya, Hummer H2 dan motosikal Harley Davidson serta wang yang diminta.
Bagaimanapun, pengadu dikatakan meminta masa untuk berfikir mengenai permintaan Datuk berkenaan yang mahu menyertai perniagaan perabut diusahakan pengadu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan menerima laporan daripada pengusaha vape berkenaan pada 6 Disember lalu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak menjalankan siasatan berhubung dakwaan pengusaha vape berkenaan dan juga laporan penafian SPRM.
“Pada masa ini siasatan terhadap kedua-dua laporan berkenaan sedang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” kata Hamid dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, sumber SPRM memberitahu Utusan Malaysia, laporan polis yang dibuat pengadu dilihat mencurigakan.
Ini kerana, berdasarkan kronologi laporan polis yang dibuat lelaki tersebut mendakwa dia ditahan SPRM pada 1 Oktober lalu sebelum direman keesokan harinya dan dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 6 Oktober lalu.
Sumber memberitahu, kejadian ugutan itu didakwa berlaku ketika proses reman tersebut, namun hanya selepas dua bulan direman baru lelaki berkenaan tampil membuat laporan polis.
“Persoalan timbul, mengapa dalam tempoh yang lama baru lelaki tersebut membuat laporan kepada polis, sedangkan dia boleh membuat laporan sebaik sahaja dibebaskan?
“Ugut adalah jenayah yang serius dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 584 Kanun Keseksaan,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, salinan laporan yang dibuat pengusaha vape tersebut telah ditularkan oleh pihak tertentu sekali gus mencemarkan imej dan nama baik SPRM. – UTUSAN ONLINE









