Agihan kerusi BN, PN kabur - Utusan Malaysia

Agihan kerusi BN, PN kabur

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sesi dialog ber­sama media yang julung kali diadakan Pas semalam memba­yang­kan ketiga-tiga komponen parti Melayu di bawah Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) masih kabur menetapkan kerusi yang akan ditandi­ngi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Malah, Pas seakan-akan tidak pasti berhubung kedudukan parti itu ketika diasak dengan soalan oleh media.

Hal ini membayangkan akan wujud masalah besar dan pertikaian kerusi antara ketiga-tiga parti berkenaan menjelang PRU-15 akan datang.

Dalam dialog berkenaan, Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pengagihan ke­rusi di Terengganu juga akan mengambil kira pandangan di peringkat Pusat dan bukannya peringkat negeri.

Abdul Hadi juga memberi­ta­hu, proses agihan kerusi ini mengambil masa dan tidak tahu bila hal tersebut akan dibincangkan oleh kesemua parti Melayu terlibat.

“Kita telah berjaya membentuk satu pakatan dalam kerajaan walaupun kerjasama yang longgar. Kalau kita sebut dalam istilah politik Islam ialah ta’awun, kerjasama yang tidak melibatkan dasar parti masing-masing, kiranya menyelesaikan masalah negara

“Ada pun dari segi pengagihan kerusi itu perlukan masa dan kita belum tahu bila pilihan raya. Apa yang penting kita dapat membahagi kerusi dengan cara yang saksama, dapat membentuk kerajaan yang kukuh di masa akan datang,” katanya.

Jawapan Abdul Hadi dalam dialog itu banyak bercorak mengambil jalan selamat berbanding merungkai permasalahan agihan kerusi terutamanya melibatkan parti serpihan UMNO iaitu Bersatu.

Secara tidak langsung, ia membuktikan kerjasama dalam PN sebenarnya rapuh, bukan bersifat jangka panjang, sebaliknya setiap parti hanya menjaga kepentingan masing-­masing.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menegaskan, Pas tidak ambil kisah tentang kenyataan-kenyataan yang dilontarkan pemim­pin atau kumpulan tertentu dalam UMNO berkenaan masa depan kerjasama dalam MN.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, kerjasama antara Pas dan UMNO melalui wadah Pia­gam MN adalah berdasarkan sifat kepartian dan bukannya berasaskan kumpulan-kumpulan tertentu.

Katanya, sebarang keputusan berhubung hala tuju dan kerjasama politik dibuat serta dibincangkan dengan kepe­mimpinan rasmi UMNO.

“Pas mengadakan kerjasama dengan UMNO dalam MN atas sifat parti, bukan kumpulan-kumpulan. Sebab itu kita tak perlu mengambil kira kumpulan-kumpulan. Pertemuan yang kita buat adalah pimpinan yang rasmi dalam UMNO, kumpulan kita tak terima,” katanya.

Dalam pada itu, ketika dita­nya berkenaan dakwaan terbaharu melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memperoleh 113 sokongan ahli Parlimen, Abdul Hadi menegaskan, Pas sedang menunggu perkhabaran yang sebenar sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya rasa ini bukan kali pertama beliau membuat berita seperti itu. Kita perlu menunggu berita yang sebenar, kita tak perlu terkapai-kapai membuat keputusan sebelum tahu hakikat yang sebenar,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai hasrat Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mahu melebarkan sayapnya ke Semenanjung, beliau mengalu-alukan perkara itu kerana setiap parti politik yang berdaftar berhak berbuat demikian.

“Malaysia sebuah negara demokrasi, Warisan sudah didaftarkan sebagai parti politik dan dia berhak tubuh cawangan di mana-mana sahaja. Tak boleh halang dia nak tubuh cawangan di manapun,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN