LUMRAH dunia seni, ada turun naik. Penuh drama dan ada kala kontroversi yang cukup pahit untuk ditelan. Tidak keterlaluan andai ada yang meletakkan dunia seni dan politik dalam ruang lingkup yang sama.
Populariti adalah satu bonus bila bercakap tentang figura tidak kira anak seni atau ahli politik. Malah, kecaman dan kritikan juga seiring. Mahu tak mahu, kita tidak boleh lari daripada semua itu.
Bercakap soal itu, ramai juga artis yang melangkah ke dunia politik yang penuh ranjau itu. Memang atau kalah itu bukan persoalan, tetapi yang menjadi tajuk utama apakah sebenarnya yang mahu dikejar mereka.
Benarkah populariti sebagai anak seni adalah tiket untuk seseorang artis menawan hati rakyat? Malah, benarkah Datuk Hans Isaac juga sudah mula perlahan-lahan melangkah ke dalam dunia politik?
Melihat perkongsiannya dalam media sosial baru-baru ini, ada kemungkinan benar berita itu. Hits mendapatkan reaksi anak-anak seni yang sebelum ini pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum.
Betulkan niat sebelum bertanding– Aishah
Pernah bertanding di kerusi parlimen Jempol ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, penyanyi bersuara emas ini meminta agar golongan artis yang mahu menyertai langkahnya supaya membetulkan niat.
Tetap mendahulukan rakyat dan berjuang atas dasar memartabatkan mereka yang mengundi adalah kunci utama bagi seseorang ahli politik. Bukan populariti atau sekadar menang kerusi.

Mengakui perjalanan untuk bergelar ahli politik itu tidak semudah mematahkan sebatang pensel, transisi perubahan jiwa seni ke politik itu perlu disertakan dengan sebab kukuh berkerja untuk rakyat.
“Popular bukan tiket untuk menang kerusi. Bagi saya, rakyat sudah bijak mengundi pemimpin yang mereka percaya. Apatah lagi dalam dunia media sosial ini, memang cabaran yang harus ditempuh bukan kecil-kecil anak.
“Sebenarnya ada pro dan kontra bila kita jadi ahli politik ini. Ya memang semua kenal kita tetapi itu tidak bermakna mereka akan undi kita. Bagaimana kita mahu yakinkan mereka, itu satu tugas yang bukan mudah.
“Saya pun dah tinggalkan dunia politik. Cuma saya harapkan sesiapa sahaja tidak kira artis atau tidak, jadilah pemimpin yang bekerja untuk rakyat. Bukan sekadar memenuhi nafsu kemenangan atau kepentingan parti sahaja,” katanya.
Aishah sebelum ini bertanding di kerusi parlimen Jempol sebagai wakil Pas. Namun, penyanyi Janji Manismu ini terpaksa mengaku kalah apabila tewas dengan majoriti undi 8,614 melawan veteran UMNO, Tan Sri Isa Samad.
Pastikan tidak dipergunakan– Dayangku Intan
Sementara itu, penyanyi senior, Dayangku Intan menegaskan, bagi mana-mana artis yang berani bertanding dalam pilihan raya atau terlibat dalam dunia politik, mereka harus ikhlas dengan apa yang diperjuangkan.
Menurutnya, lebih utama, artis jangan sesekali membiarkan diri dipergunakan pihak tertentu walau atas dasar perjuangan politik.
“Populariti artis lain daripada ahli politik, sebagai seorang yang pernah berada di situ, saya tahu. Artis boleh dikecam dengan teruknya, sama juga dengan ahli politik. Tetap maaf cakap, adakalanya buah fikiran golongan artis ini lebih baik daripada ahli politik.
“Namun pastikan setiap yang bertanding mempunyai keikhlasan dan tahu apa yang diperjuangkan,” katanya.
Tambah Dayang, artis yang bertanding juga jangan cepat leka dengan kerakusan dan kekuasaan kerana ia boleh memakan semula diri.
“Jangan benarkan ahli politik ini terus menganggap bahawa golongan artis tidak mampu menjadi seperti mereka.
“Tetapi kita pula jangan jadi macam mereka. Bila dah ada kuasa dan kedudukan, jangan pula rakus atau duit orang asyik masuk poket sendiri. Sebab itulah saya katakan tadi, kena ikhlas dan jujur,” katanya.
Politik perlu wajah baharu
Memberi fokus untuk terus menyalurkan bantuan kepada penduduk di sekitar Ampang, Datuk Hans Isaac yang aktif kini melalui kempen @kitabudakampang turut dikatakan menjadi antara selebriti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 15.
Menjelaskan dia sentiasa menghormati keputusan yang buat presiden, parti dan penduduk sendiri, itu adalah jawapan kepada pembabitannya secara langsung dalam bidang politik selepas ini.
“Fokus saya adalah membantu penduduk di Ampang, dengan rasa hormat sebarang pencalonan untuk PRU15 di Ampang adalah berdasarkan keputusan presiden, parti dan penduduk Ampang sendiri.
“Pasukan saya melalui #kitabudakampang akan memberi fokus kepada program yang sudah diatur dan dalam masa yang sama akan sentiasa menghargai sokongan dan bantuan yang kami dapat.
“Menjalankan program ini secara sendiri boleh dianggap keterlaluan pada satu-satu masa. Tetapi kepuasan yang dapat kami rasai adalah untuk melihat sendiri impak kepada keluarga dan individu yang dibantu,” kongsinya.

Tidak menolak politik negara memerlukan wajah baharu, ketika ini Hans yakin ada yang kecewa dengan keadaan politik Malaysia. Mahu melihat sesuatu yang berbeza, tegas bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ini sudah sampai masanya untuk rakyat memilih jalan yang betul.
“Dunia politik memerlukan wajah baharu untuk mengetuai. Ikutkan dalam tempoh ini hanya wajah yang sama bergelar pemimpin yang membuatkan ada di antara kita putus harapan dengan dunia politik negara.
“Kita memerlukan perubahan untuk hari esok yang lebih baik, tetapi menjadi tanggungjawab kita untuk mengundi dan membuat perubahan itu. Saya tahu ramai yang kecewa, tetapi jangan putus asa dan gunakan hak kita untuk memilih jalan yang lebih baik untuk semua,” jelasnya.










