Kakitangan imigresen turut disyaki terlibat pelacuran, pemerdagangan manusia - Utusan Malaysia

Kakitangan imigresen turut disyaki terlibat pelacuran, pemerdagangan manusia

TIMBALAN pengarah antara tiga pegawai imigresen yang ditahan reman baru-baru ini bagi membantu siasatan rasuah dan urusan cap palsu di pintu masuk negara menerusi Ops Selat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sindiket antarabangsa yang `bersekongkol’ dengan pegawai daripada Jabatan Imigresen turut dipercayai aktif melakukan aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan manusia di negara ini selain terlibat dalam kegiatan menguruskan cap palsu.

Sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, sindiket terbabit dipercayai membawa warga asing untuk menjalankan kegiatan pelacuran dan aktiviti haram lain.

Bagaimanapun, kata sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan lanjut keterlibatan individu yang ditahan dalam aktiviti tersebut.

“SPRM tidak tolak kemungkinan perkara ini berlaku dan rasuah yang mereka terima lebih RM14.5 juta yang dimaklumkan sebelum ini,” katanya semalam.

Dalam pada itu, tambah sumber, sebanyak tiga lagi pegawai Jabatan Imigresen termasuk Timbalan Pengarah Gred 48 ditahan reman SPRM semalam bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama.

Selain itu, SPRM turut mendapatkan perintah sambungan reman ke atas 10 individu yang mana dua daripada mereka dilepaskan manakala bakinya dibenarkan mendapat perintah berkenaan.

“Timbalan Pengarah yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama dua lagi anggota berusia antara 38 tahun hingga 54 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya petang kelmarin.

“Perintah tahan reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim kepada mereka selama lima hari bermula hari ini (semalam) di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Perkembangan terbaharu itun menjadikan sebanyak 53 orang ditahan dalam Op Selat yang bermula dari 16 November lalu. 

Ini termasuk 33 pegawai imigresen yang bertugas di KLIA, KLIA 2 dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN