Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu untuk mengekang wabak Covid-19 memberi impak kepada banyak perniagaan apabila tidak dapat beroperasi seperti biasa.
Banyak majikan yang terpaksa memotong gaji malah menghentikan perkhidmatan pekerja-pekerjanya akibat sumber pendapatan yang tersekat.
Bagi Muhammad Hafiz Hanafi, 36, dia juga terkesan dengan PKP. Kontraktor memasang pagar ini pada mulanya buntu kerana sektor pembinaan tidak boleh diteruskan dan dalam masa yang sama mempunyai ramai pekerja di bawahnya.
Beliau tidak sampai hati untuk memotong gaji enam orang pekerjanya tambahan kasihan dengan mereka yang mempunyai keluarga yang perlu ditanggung.
Dari situ, timbul idea untuk dia dan adik-beradiknya membina reban burung puyuh di laman rumah keluarga, tambahan kepada haiwan ternakan yang sedia ada seperti ayam, itik, rusa dan lain-lain.
Fikirnya, daripada tidak buat apa-apa, lebih baik dia bersama-sama pekerja mengerah tenaga untuk membina reban untuk menternak burung puyuh menggunakan apa sahaja barang yang boleh diperoleh di sekitar rumah mereka
Menariknya, Muhammad Hafiz tidak mengeluarkan kos untuk membina reban telur puyuh kerana menggunakan buluh-buluh dan kayu yang semuanya boleh di dapatkan di hutan sekitar rumah mereka.
“Saya hanya belajar mengenai cara menternak burung puyuh dan membina reban burung puyuh dengan menonton video di YouTube.
“Saya tidak mengeluarkan sebarang kos untuk bahan binaan kerana dibuat secara tradisional menggunakan buluh yang ditebang di hutan berdekatan rumah.
“Lagipun ketika PKP kita tidak boleh keluar jauh untuk ke kedai perkakasan, perlu menggunakan kreativiti untuk membinanya. Malah mesin pengeram telur juga kami bina sendiri dari awal,” ujar Muhammad Hafiz yang mempunyai latar belakang kejuruteraan ketika di temui di rumahnya yang terletak di Sepang, Selangor, baru-baru ini.
Tambahnya, dia gemar menonton video YouTube cara menternak burung Puyuh terutama Indonesia kerana penerangan yang jelas dan terperinci malah idea membuat reban daripada buluh juga diinspirasi daripada penggiat YouTube Indonesia.

BERMULA DENGAN ENAM REBAN
Jelas Muhammad Hafiz, pada awalnya mereka membina enam buah reban sahaja yang diperbuat daripada buluh.
“Satu reban boleh menempatkan 50 ekor burung puyuh. Saya membeli 300 ekor anak puyuh dari pembekal burung puyuh di Kelang.
“Bermula 300 ekor anak burung puyuh, kini saya memiliki 1,300 ekor burung puyuh, tidak termasuk 400 ekor anak burung puyuh yang baru menetas baru-baru ini.
“Sekarang saya mempunyai 40 reban burung puyuh dan tiga mesin mesin pengeram puyuh yang semua dibuat sendiri, bezanya kini saya menggabungkan material pagar besi daripada syarikat pembinaan pagar saya.
“Saya tidak sangka projek PKP yang pada mulanya boleh dikatakan sekadar suka-suka kini menjadi dan kini menjadi antara sumber pendapatan saya,” ujarnya yang menimbang untuk mencari bantuan-bantuan yang berkaitan dengan projek penternakannya itu.
Ditanya mengapa memilih untuk menternak burung puyuh, terang Muhammad Hafiz, berdasarkan kajiannya, pembiakan burung puyuh lebih mudah dan cepat iaitu 45 hari sahaja untuk matang berbanding ayam yang mengambil masa tiga hingga empat bulan.
Malah permintaannya juga tinggi kerana tidak ramai yang menternak burung puyuh.

Walaupun projek burung puyuh yang dijalankan Muhammad Hafiz sejak Mac, tetapi dia hanya mula menjual telur dan burung puyuh, Oktober lalu. Sebelum ini, semua telur yang diperoleh dieramkan, baru kini dia menjual telur dan burung puyuh.
“Kami mula menjual telur-telur burung puyuh di kedai runcit berdekatan dan juga mempromosi dalam kalangan rakan-rakan terutama di dalam menerusi kumpulan WhatsApp.
“Setiap hari kami memperoleh 400 biji telur burung puyuh dan dari situ kami akan memilih sebahagiannya untuk dieram dan sebahagian lagi untuk dijual.
“Pernah sekali kami dapat tempahan 600 biji burung puyuh, membuktikan telur burung puyuh ada permintaan yang tinggi walaupun bukan makanan harian seperti telur ayam.
“Harga yang kami jual juga rendah iaitu RM2.50 untuk 15 biji berbanding harga pasaran iaitu RM3.20, sesuai untuk mereka yang mahu berniaga.
“Untuk burung puyuh pula, kami akan mengumpul pesanan terlebih dahulu dan baru sembelih bagi mengekalkan kesegarannya. Setiap pek mengandungi lima ekor burung puyuh dijual RM17.50,” ujarnya yang turut membekalkan ke kedai makan yang menggunakan telur puyuh dalam masakan mereka seperti nasi lemak telur puyuh.
Bezanya berbanding yang biasa di pasaran ujarnya, kebanyakannya burung puyuh dijual sejuk beku dan tidak segar malah ada yang liat kerana menggunakan burung puyuh pencen.
Melihat kepada potensi penternakan burung puyuh, Muhammad Hafiz merancang untuk menjalankan penternakan dan jualan burung puyuh secara lebih serius.
Malah dia juga merancang untuk mempelbagaikan produk seperti menyediakan burung puyuh yang diperap kunyit, lada hitam dan lain-lain melihat kepada permintaan daging perap yang tinggi kerana memudahkan pelanggan.










