MENDEKATI penghujung tahun 2020 ini, negara berdepan seribu macam `drama’. Terkini, sewaktu pengumuman Belanjawan 2021, ramai tidak puas hati apabila lebih RM80 juta akan disalurkan untuk menubuhkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). Dalam pada banyak sektor penting yang lebih memerlukan, pengumuman itu mengundang curiga dalam kalangan pelbagai pihak, baik kawan apatah lagi sang lawan.
Soalnya, apa rasional penubuhan semula Jasa yang satu waktu dulu dianiayai Pakatan Harapan, sedangkan ramai rakyat marhaen yang kini tiada pekerjaan dan hidup melarat?
Mendepani persoalan ini, Mingguan Malaysia bertemu bual dengan bekas Ketua Pengarah JASA, yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi. Ikuti wawancara yang berlangsung di Putrajaya, Selasa lalu yang disertai wartawan FAHMI FAIZ, ROSHIHAN ANNUAR YUB dan jurugambar FAISOL MUSTAFA.
ISU PENUBUHAN SEMULA JASA
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah JASA masih relevan?
PUAD ZARKASHI: Saya tetap anggap JASA agensi yang relevan untuk kerajaan yang memerintah (government of the day). Terutama dalam sebarkan, sampaikan maklumat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan. Ini penting, apatah lagi dalam keadaan negara ini memerlukan maklumat tepat yang dapat membendung berita palsu dan sebagainya. Pada saya apabila wujud cadangan JASA dihidupkan semula, ia wajar disokong.
Adakah JASA baharu atau JASA 2.0 ini untuk membantu kerajaan Perikatan Nasional, atau sekadar senjata politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)?
Kerajaan tak perlu apologetik apabila nak hidupkan semula Jasa. Ia memang nak pertahankan kerajaan pemerintah, jadi tak perlulah berikan alasan-alasan lawak. Misalnya, Menteri Komunikasi, Saifuddin Abdullah kata, ini untuk memerangi Covid, hanya untuk penyebaran maklumat. Wan Saiful Wan Jan pula kata, JASA 2.0 ini hanya untuk mengutip maklumat. Janganlah apologetik, ia tidak lari daripada politik.
Boleh kupas lebih lanjut?
Sekarang ini ada tuduhan mengatakan apabila Bersatu, sebuah parti yang berkuasa tapi tidak mempunyai cawangan yang banyak, malah sukar pula mencari ahli untuk menubuhkan cawangan baharu di seluruh negara.
Maksudnya?
Ada yang curiga, kerajaan akan gunakan peruntukan itu untuk melantik pegawai-pegawai yang sebenarnya, kerja mereka seperti petugas cawangan parti politik. Terutama ketika negara sedang berdepan pandemik, kenapa jumlah sebegitu besar kepada JASA? Saya yakin, sudah tentu Saifuddin sebagai menteri daripada Bersatu, beliau akan lantik peneraju utama Jasa ini daripada Bersatu.
Ada kemungkinan, JASA ini sebagai persediaan menghadapi pilihan raya di musim wabak?
Ada kemungkinannya. Saifuddin ada sebut, peruntukan besar ini digunakan untuk bangunkan kekuatan stratcomm atau komunikasi strategik media sosial. Timbul persoalan, apakah ini akan digunakan semasa pilihan raya nanti untuk pengaruhi pengundi?
Maklumlah sekarang ini di musim pandemik, kalau berlaku pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin guna SOP baharu, misalnya tidak lagi dibenarkan kempen rumah ke rumah, tiada lagi perhimpunan awam, penamaan calon pun hanya dua, tiga orang sahaja yang boleh hadir di pusat penamaan. Jadi sudah tentulah media sosial memainkan peranan.
Datuk sebut, peruntukan kepada JASA 2.0 sekarang terlalu tinggi. Bagaimana pula zaman BN dulu?
Sebab itu saya kata, dulu untuk gaji kakitangan tetap, termasuk pegawai kontrak, habis tinggi kami belanja dekat RM19 juta sahaja setahun. Jadi yang selebihnya itu kita berbelanja untuk sewa dan aktiviti. Tapi tidak pernah dalam sejarah saya, aktiviti JASA ini sampai RM40, 50 juta. Kalau RM10 juta pun sudah cukup besar. Sebab itu, saya kata RM85 juta ini satu jumlah yang terlalu besar kecuali menteri dapat menjelaskan secara terperinci apa yang dia hendak guna.
Ada sumber dakwa, orang kuat Datuk Seri Azmin Ali iaitu Afif Bahardin akan jadi Ketua Pengarah (KP) JASA 2.0?
Kalau betul nak lantik YB Afif, ini akan timbulkan lebih banyak kecederaan kepada kerajaan hari ini. Sebab dia Yang Berhormat. Bolehkah seorang YB memegang jawatan sebagai penjawat awam, walaupun contract for service? Saya tak tahulah apa YB Afif nak buat.
Sebab itu saya lebih cenderung mempercayai bahawa yang akan dilantik ialah Wan Saiful Wan Jan. Sebab dia pun ada keluar kenyataan baru-baru ini pasal penubuhan JASA 2.0 untuk mengutip data, maklumat rakyat, malah dia juga ada rekod menjadi tulang belakang badan pemikir idea, mungkin dialah.
KEJUJURAN POLITIK
Adakah kerajaan PN dapat bertahan sampai PRU-15?
Boleh, jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan soal kejujuran politik itu di atas. UMNO memutuskan melalui Biro Politik, supaya hubungan UMNO dalam PN ini bukan lagi berasaskan kepada individu yang jadi Ahli Parlimen, tetapi secara konsensus parti. Kalau Muhyiddin terima, maka PN boleh bertahan. Kenapa keputusan Biro Politik ini timbul, kerana apa yang berlaku di Sabah. Di sana, tiada kejujuran politik.
Apa berlaku di Sabah semasa PRN tempoh hari?
Bersatu meletakkan calon-calon yang ditaja, sama ada calon Bebas, calon PBS ataupun STAR, macam di Kemabong, Melalap dan di Pitas. Kemudian di Lumadan, mereka menaja PBS lawan YB Kamarlin Ombi. Di Paginatan juga tak silap saya, Ketua Bahagian Ranau Junaidi Sahat, ada calon STAR berlawan di situ. Sedangkan STAR, PBS ini ahli kepada PN. Kenapa tak halang mereka ini? Jadi tiada kejujuran politik. Maka di situlah timbulnya dan yang paling memuncak adalah soal pelantikan Ketua Menteri. Oleh itu, timbul pandangan daripada Biro Politik.
Apa pandangan itu?
Antara yang sudah jadi macam rahsia terbuka, bahawa kali ini adalah konsensus parti. Maksudnya kerjasama mestilah berasaskan kepada terma baharu hitam putih dan bertulis. Tiada lagi cakap mulut. Kedua, yang menjadi rahsia terbuka adalah konsensus parti. Ketiga, sebarang pelantikan mesti mengikut hierarki parti.
Ada lagikah yang terbuku di hati, yang Datuk cuba sampaikan?
Sebenarnya bila Muhyiddin nak beri nasihat kepada YDP Agong untuk isytiharkan darurat tempoh hari, beliau tak bincang pun dengan UMNO. Sebab itu, UMNO tak setuju. Kebetulan nasihat itu kena tolak.
Pandangan Datuk, kenapa nak isytihar darurat?
Sebab politik. Pertama kerana takut belanjawan ditolak. Kedua takut usul undi tak percaya. Ketiga takut Pilihan Raya Kecil Batu Sapi. Yang keempat, takut Pilihan Raya Negeri Sarawak.
Sebab itulah dalam mesyuarat Badan Perhubungan Johor, kita menolak, tapi Johor juga terkenal dengan budi bahasa, maka kenyataan media yang keluar adalah UMNO Johor meminta kerajaan beri penjelasan lanjut kenapa Perkara 150 Darurat mahu digunakan?
ANWAR ADA SOKONGAN?
Kalau PN tumbang, bukankah itu beri ruang kepada Anwar dan DAP naik tocang semula?
Politik ini pada saya dinamik. Tak boleh dilihat semata-mata kepada PN lawan PH. Kena lihat banyak alternatif, ia boleh jadi MN misalnya atau lain-lain gabungan. Apa-apa gabungan boleh berlaku. Siapa sangka di Sabah itu, akhirnya Tan Sri Musa Aman boleh menggabungkan 32 DUN untuk membentuk satu kerajaan baharu? Cuma Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang terus bubarkan Dewan. Siapa sangka ia menjadi pilihan raya pertama di mana BN dan PN bekerjasama?
Jadi betulkah Anwar ada sokongan yang cukup September lalu?
Itu apa yang saya diberitahu. Datuk Seri Anwar Ibrahim dakwa dia ada 121 sokongan dengan berbagai cara termasuk sokongan akuan bersumpah (SD). Dia juga dakwa ada sokongan Ahli Parlimen UMNO. Timbul juga dakwaan, ada surat sokongan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dipersembahkan kepada YDP Agung.
Jadi surat Zahid sokong Anwar itu betul?
Kena tanya Presiden UMNO. Tetapi kalau betul dakwaan Anwar iaitu 20 orang sahaja daripada 42 Ahli Parlimen BN dalam PN yang menyokong, tumbanglah Muhyiddin.
Tapi bukankah ada pertemuan antara Zahid, Muhyiddin dan Hadi Awang Oktober lalu? Tidakkah itu membuktikan PN sudah mencapai konsensus?
Semua orang bercerita mengenainya. Ia juga berkaitan isu surat Zahid. Dikatakan berlaku salah faham yang panas antara Zahid dan Muhyiddin kerana surat itu. Mungkin Muhyiddin terkejut dan rasa terancam dengan isu surat itu. Saya yakin semua itu berlaku kerana pengalaman pahit di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Tetapi UMNO masih kekal bersama dalam kerajaan PN, dan Anwar masih belum menjadi Perdana Menteri.
‘KERAJAAN SD’
Pada fikiran Datuk, apa matlamat UMNO sebenarnya?
Kita tidak mahu negara ini ditadbir oleh sebuah kerajaan yang didukung oleh majoriti lemah. Ia akan mengakibatkan politiking berterusan. Sampai bila amalan ‘Kerajaan SD’ mahu diteruskan?
Kita boleh lihat kesannya kepada Belanjawan 2021. Ia di hujung tanduk. Ia boleh tidak lulus apatah lagi tidak ada konsensus ketika dirangka di peringkat awal. Kesannya nanti kepada rakyat. Itulah padah bila kerajaan majoriti lemah. Sebab itu, kalau mahu bekerjasama, biarlah ada kejujuran politik, bukan dengan tikam belakang dan game plan yang tidak habis-habis.
CALON TPM DARI UMNO
Siapa dalam kalangan UMNO yang dikira patut dilantik sebagai TPM?
Kena ikut hierarki, Zahid lah. Meskipun Muhyiddin tak mahu, tapi tak boleh.
Tapi ramai bangkitkan isu Zahid terpalit kes di mahkamah?
Macam mana kamu boleh pertahankan Azmin Ali? Menteri kanan paling kanan. Bukankah dia pun terpalit isu? Bila PM lantik Bung Mokhtar sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, dia kata “okay lah asalkan Hajiji jadi Ketua Menteri.” Maksudnya, boleh pula dia kompromi Datuk Seri Bung Moktar?
Kalau betul nak pertahankan prinsip, kamu jujur, sepatutnya Bung Moktar pun kamu tak terima! Masih dalam mahkamah kes dia. Jadi itu alasan saya bila berhujah, apa sangat kita nak apologetik ini? Kalau takut orang kata kita gila kuasa, sudah memang UMNO ini parti politik, memang lah kita nak kuasa!
PERTEMBUNGAN TIGA, EMPAT PENJURU PRU AKAN DATANG
Apa jaminan dalam PRU akan datang, tak berlaku pertembungan kerusi antara parti dalam blok kanan termasuk UMNO, Pas dan Bersatu?
Pendirian UMNO dan Pasa dalah untuk daftarkan MN dan proses itu sudahpun dibuat. Pada kita yang penting elakkan dulu pertembungan UMNO dengan Pas. Sebab pengalaman di Sabah membuktikan akhirnya berlaku juga lima, enam penjuru.
Macam mana pula soal pembahagian kerusi antara UMNO-Bersatu?
Sebab itu bukan menjadi satu rahsia bahawa UMNO telah menyatakan pendirian, mana-mana kerusi yang kita menang dulu atas tiket UMNO, itu tetap kerusi UMNO. Bersatu kena terima hakikat peristiwa di Sabah, mereka dituduh cuba membunuh UMNO. – Mingguan Malaysia










