Macau Scam, judi dalam talian kaut untung RM1.08 bilion setahun - Utusan Malaysia

Macau Scam, judi dalam talian kaut untung RM1.08 bilion setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegiatan jenayah Macau Scam dan judi dalam talian mampu meraih pendapatan sehingga RM1.08 bilion setahun.

Itu anggaran pendapatan di­peroleh sindiket yang diperca­yai didalangi Goh Leong Yeong, 32, atau dikenali Alvin yang menjadi buruan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas meloloskan diri sebaik sahaja dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber membe­ritahu, kira-kira RM3 juta sehari keuntungan yang dikaut sindiket itu hasil penipuan Macau Scam yang dijalankan sejak lima hingga enam tahun lalu.

Ujarnya, daripada keuntu­ngan yang diperoleh, seba­nyak 20 peratus akan diberikan kepada sindiket Macau Scam warga China yang bersekongkol dengan mereka yang mana Alvin dan rakan sejenayahnya me­nerima RM2.5 juta sehari.

Kata sumber lagi, jenayah dilakukan Alvin dan rakan-ra­kannya bukan sahaja terlibat dalam Macau Scam dan perjudian dalam talian malah mereka juga adalah kumpulan gangster berpengaruh di Kuala Lumpur dan Selangor yang aktif dalam melakukan kegiatan ‘ah long’ dan perniagaan pusat hiburan.

“Untuk melancarkan akti­viti mereka, hasil pendapatan yang diperoleh bukan sahaja untuk membayar pihak polis bagi melindungi kegiatan mereka, malah mereka dipercayai ‘menyuap’ individu tertentu untuk mendapat data peribadi mangsa penipuan daripada ‘rakan sejenayah’ yang berkhid­mat di agensi berkaitan.

“Selain itu, hasil pendapatan itu juga dipercayai diberi kepada beberapa golongan artis sebagai modal untuk menjalankan perniagaan. Enggan menuding jari individu yang terlibat, perkara itu tidak dina­fikan berlaku dan sememang­nya wujud,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mengulas lanjut, bagi melancarkan kegiatan yang di­lakukan Alvin, rakan sejena­yahnya yang juga menggunakan gelaran ‘Datuk’ palsu dan kini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dipercayai mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

Kata sumber, bagaimanapun, individu berkenaan ‘dise­lamatkan’ oleh anggota polis di­kenali sebagai ‘Helang’ yang juga didapati ‘bersekongkol’ da­lam kegiatan jenayah mereka.

“Mungkin kerana terhutang budi, anggota polis berkenaan dibayar untuk menjadi orang perantaraan menutup mulut pihak berkuasa dan membantu melindungi kegiatan yang dijalankan sindiket ini,” jelasnya.

Akhbar ini kelmarin mendedahkan, sekitar RM2 juta hingga RM4 juta sebulan diperuntukan untuk ‘dibelanjakan’ kepada pelbagai pihak terma-suk polis dan orang berpengaruh bagi melindungi jenayah Macau Scam dan judi dalam talian.

Wang hasil penipuan Macau Scam dan judi dalam talian terpaksa diagihkan bagi menutup mulut pihak-pihak berpontensi membocorkan jenayah yang dilakukan lima tahun lalu.

Pendedahan Utusan Malaysia turut mendapati, hasil siasatan kira-kira 50 hingga 100 individu dipercayai menerima wang daripada Alvin yang kini menjadi buruan polis selepas melarikan diri dari kawasan Ibu Pejabat SPRM 11 Oktober lalu.

Sebelum itu, SPRM membongkar kegiatan Macau Scam dan judi dalam talian susulan penahanan lima individu termasuk Alvin dan seorang individu lain yang bergelar ‘Datuk’.

Individu terbabit disyaki memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal memulakan perniagaan sebagai modus operandi mencuci duit haram hasil jenayah mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki mendedahkan, pihaknya menahan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China, selain membuat beberapa siri tangkapan lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN