KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) sudah berdaftar sejak 7 Ogos lalu dan secara rasminya berdiri sebagai pakatan politik yang sah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah 26 September ini.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dalam satu kenyataan berkata, pakatan politik itu telah diluluskan di bawah kategori politik selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355) manakala sijil pendaftaran bernombor PPM-019-14-07082020 sudah dikeluarkan dan ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan.
“Sijil pendaftaran, logo parti dan perlembagaan parti telah ditandatangani dan dikemukakan kepada PN sebaik sahaja pendaftaran parti diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini mempersoalkan status pendaftaran PN oleh ROS.
Naib Ketua Angkatan Mudanya, Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa, semakan menggunakan nama ‘Parti Perikatan Nasional’ di laman sesawang ROS gagal menemukan maklumat berkaitan gabungan itu.
Beliau berkata, carian menggunakan nama Perikatan Nasional dan Prikatan Nasional juga tidak membawa kepada apa-apa penemuan.
“Setakat pukul 2.22 pagi, 14 September 2020 tiada rekod berkaitan berjaya dipaparkan.
“Melalui makluman media kononnya permohonan untuk pendaftaran Parti Perikatan Nasional telah dihantar sebelum atau pada 20 Ogos 2020,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bagaimanapun ROS menjelaskan bahawa maklumat kelulusan PN tidak terdapat dalam di laman sesawangnya kerana dikemas kini secara automatik setiap dua bulan.
Menurut ROS, oleh itu, kelulusan PN hanya akan tertera dalam carian umum laman sesawang ROS pada awal Oktober 2020.
“Bagaimanapun, sekiranya ada carian khusus dalam sistem pertubuhan eROSES ia akan jelas memaparkan PN diluluskan pada 7 Ogos 2020. Maklumat parti yang terdapat dalam sistem eROSES hanya boleh diakses oleh setiausaha parti tersebut sahaja,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE










