Ambil iktibar kelab malam luar negara - Utusan Malaysia

Ambil iktibar kelab malam luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN masih ada yang lupa kita masih belum menang dalam misi melawan musuh utama dunia. Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada ketika ini begitu ego membuatkan umat manusia seantero dunia menjadi resah gelisah menantikan bilakah bencana ini akan berakhir.

Masihkah kita ingat pada awalnya, Mac lalu kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)? Ekonomi negara menjadi gawat, pergerakan rakyat tersekat dan jumlah pengangguran meningkat.

Tugas memutuskan rantaian wabak ini memerlukan kerjasama sepenuhnya antara pihak kerajaan dan rakyat.
Pihak kerajaan menggubal dasar awam, menjalankan operasi pemantauan dan memastikan kebajikan rakyat dijaga tatkala rakyat dihimpit dan tersepit dek penularan wabak ini.

Sementara, rakyat pula mestilah mendoktrinkan prinsip 3S (elakkan tempat yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) ke dalam amalan harian kita.

Setakat ini, kerajaan membenarkan sebilangan besar sektor ekonomi untuk beroperasi kecuali kelab malam dan pusat hiburan.

Baru-baru ini, terpampang di dada akhbar yang mana Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu kelab malam yang beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Tindakan sebegini terang-terangan melanggar prinsip 3S.

Membuka operasi kelab malam semasa tempoh PKPP telah membawa kepada beberapa isu seperti tidak memakai pelitup muka, terbabit dengan aktiviti perjudian dan pelacuran, gagal menyediakan bahan rekod catatan keluar masuk, premis beroperasi lebih masa dan sebagainya.

Apa yang lagi digusarkan terdapat segelintir pelanggan kelab malam memandu di bawah pengaruh alkohol dan terbabit dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian.

Peningkatan kes Covid-19 yang berpunca dari kelab-kelab malam di luar negara harus dijadikan pengajaran.

Sebelum ini, Korea Selatan dipuji kerana pengurusannya yang efektif dalam mengekang penularan wabak ini. Namun, kes jangkitan wabak yang meningkat berpunca dari kelab malam sedikit sebanyak mengubah persepsi dunia untuk menjadikan negara itu sebagai model terbaik dalam membanteras wabak tersebut. Negara itu mencatatkan jumlah kes Covid-19 baharu tertinggi, berpunca daripada kluster kelab malam di Seoul.

Di Tokyo, jumlah kes Covid-19 angkara aktiviti kelab malam telah meningkat sejak kerajaan Jepun melonggarkan sekatan sosial dan ekonomi.

Di Peru pula, seramai 13 orang mati di kelab malam berpunca daripada kesesakan semasa serbuan dibuat oleh pihak berkuasa dan 11 daripadanya dijangkiti Covid-19. Selain itu, polis juga menahan seramai 23 orang pelanggan kelab malam tersebut dan mendapati 15 daripadanya dijangkiti Covid-19.

Sementara di Prague, Republik Czech, kes peningkatan wabak Covid-19 yang dikaitkan dengan aktiviti kelab malam dilaporkan meningkat kepada 98 kes.

Terdapat juga beberapa negara yang mengarahkan pengusaha kelab malam menutup operasi perniagaan buat sementara waktu seperti di Itali, Sepanyol dan beberapa negara Eropah lain.

Pada Ogos tahun ini, Menteri Kesihatan Sepanyol, Salvador Illa, mengarahkan semua kelab malam di negara itu ditutup sehingga vaksin Covid-19 ditemui.

Ada juga negara yang membenarkan kelab malam untuk beroperasi tetapi bersyarat. Contohnya, pihak berkuasa di Tokyo mewajibkan pekerja di kelab malam untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 secara berkala.

Di Belanda, terdapat kelab malam yang hanya membenarkan pelanggannya menari sambil duduk di kerusi yang dijarakkan 5 kaki.

Yang uniknya, ada juga kelab malam seperti di Singapura yang mengambil pendekatan inovatif sempena norma baharu dengan menjalankan operasi kelab malam secara cloud-clubbing streaming.

Profesor Fitzgerald, pakar dalam dasar berkaitan alkohol berpendapat terdapat risiko sekiranya kerajaan membenarkan pengoperasian semula kelab malam kerana pengusaha kelab malam mungkin berusaha menebus kerugian manakala pelanggan pula akan memilih meraikannya dengan minum arak lebih banyak daripada kebiasaannya.

Agak sukar mengawal pelanggan kelab malam terutama sekali apabila mereka berada dalam pengaruh alkohol. Sekiranya kelab malam beroperasi seperti biasa, agak sukar mengamalkan penjarakan fizikal. Pelanggan hanya dibenarkan menari di kerusi masing-masing. Paling tidak pun menari di dalam kotak-kotak lutsinar yang disediakan.

Setakat mana operasi kelab malam diberhentikan buat sementara waktu, orang awam perlu bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menyalurkan aduan sekiranya terdapat kelab malam yang masih beroperasi. Kerajaan juga perlu memikirkan bantuan yang sesuai kepada pengusaha dan pekerja kelab malam yang turut terkesan dek pandemik ini.

Apa-apa pun, analisis kos dan faedah (Cost and Benefit Analysis) perlu dijalankan secara teliti sebelum kerajaan membuat keputusan sama ada untuk membenarkan operasi kelab malam dibuka seperti biasa atau dihentikan sementara menunggu keadaan benar-benar selamat untuk berbuat demikian.

Sekiranya hasil kajian itu mendapati banyak kemudaratan daripada kebaikan, betullah kata pepatah Inggeris, prevention is better than cure. Jangan pula nanti telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua. Takut nanti, PKP akan dilanjutkan tempohnya (dan mungkin diperketatkan) dan kitaran ini tiada penghujungnya.

Penulis ialah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN