KUALA LUMPUR: Semalam adalah detik bersejarah buat 13 banduan yang menjalani hukuman di beberapa penjara di negara ini apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan pembebasan awal kepada mereka sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63.
Difahamkan, mereka adalah bekas ahli kumpulan Al-Maunah yang menggemparkan negara 20 tahun lalu setelah merampas senjata sebelum berkubu di Bukit Jenalik, Perak untuk menggulingkan kerajaan. Kumpulan itu mengugut mahu menyerang ibu negara jika Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak meletak jawatan dalam tempoh 24 jam.
Turut difahamkan, empat daripada mereka berasal dari Selangor, tiga masing-masing dari Kelantan dan Kedah, Terengganu (dua) manakala seorang lagi tidak dapat dipastikan.
Insiden itu bermula apabila 27 ahli Al-Maunah diketuai Mohamed Amin Mohamed Razali berpakaian pegawai kanan tentera dan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Perak sebelum melarikan senjata dari kem tersebut pada 2 Julai 2000.
Mereka kemudian menyembunyikan diri di Bukit Jenalik sebelum dilumpuhkan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta menyerah diri.
Pada 28 Disember 2001, Amin dan dua anggotanya, Zahit Muslim dan Jamaluddin Darus dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong manakala 16 ahli kumpulan itu dihukum penjara sepanjang hayat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan, juga atas kesalahan sama.
Pada 17 Ogos lalu, seorang bekas ahli gerakan tersebut, Awie, 49, (bukan nama sebenar) dibebaskan apabila mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong selepas menjalani hukuman penjara di Kajang dan Marang selama 20 tahun.
Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan semalam berkata, semua banduan tersebut didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat pada 28 Disember 2001 atas pertuduhan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana berperang atau cuba berperang atau menyubahati berperang melawan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri.
Katanya, perkenan Yang di-Pertuan Agong dibuat menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan daripada nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Kesemua 13 banduan yang menjalani hukuman penjara sepanjang hayat sejak dari tahun 2001 telah membuat rayuan pengampunan terhadap hukuman tersebut.
“Al-Sultan Abdullah dengan nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam Mesyuarat kali ke-55 yang bersidang pada 4 September tahun lalu telah bertitah perkenan untuk 13 banduan tersebut dibebaskan pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan,” katanya semalam.
Susulan daripada mesyuarat ini, Al-Sultan Abdullah dengan nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam Mesyuarat kali ke-56 yang bersidang pada 24 Julai 2020 telah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan tersebut berkuat kuasa Ogos 2020.
Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, perkenan pembebasan awal itu bertujuan memberi peluang kepada mereka kerana berkelakuan baik untuk kembali kepada pangkuan masyarakat serta kehidupan normal dan menjadi insan yang lebih baik.
“Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar kesemua 13 banduan mengenang kembali kesilapan, terus memohon keampunan dan menilai sejauh mana hubungan mereka dengan Tuhan dan keluarga serta masyarakat.
“Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar mereka menjalani kehidupan baru bersama keluarga tersayang dan masyarakat dengan berfaedah,” jelasnya. – UTUSAN










