Helikopter ditembak, dihujani peluru - Utusan Malaysia

Helikopter ditembak, dihujani peluru

HARIS Dan menunjukkan gambar lama semasa dalam Grup Gerak Khas (GGK) dari tahun 1970 hingga 1988 di rumahnya di Arau, semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Mukanya merah seolah-olah menahan kemarahan ketika ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak tidak menghormati Jalur Gemilang sehingga berlaku banyak kes membabitkan bendera Malaysia yang dipasang terbalik kebelakangan ini.

Selepas beberapa saat terdiam, bekas komando daripada pasukan Grup Gerak Khas (GGK) Sarjan (B) Haris Dan, 71, kembali menyambung perbualan de­ngan meluahkan rasa, pengorbanan mereka yang bermatian-matian melawan komunis demi mempertahankan negara seperti tidak dihargai, apabila masih terdapat individu tidak mempunyai semangat cintakan tanah air.

“Saya rasa cukup marah, adakah mereka ini buta sejarah. Kalau mereka sedar, betapa susahnya kita hendak merdeka, lawan komunis sehingga ada yang terkorban dan cacat sehingga akhir hayat bagi mempertahankan negara tercinta ini.

“Tindakan seperti ini (pasang bendera terbalik, hina Jata Negara) termasuk memperlekeh anggota keselamatan tidak sepatutnya berlaku. Kadang kala saya sedih dengan situasi yang berlaku.

“Semua bangsa mesti ada semangat patriotik, ingat perjuangan orang-orang dahulu, bukan senang kita hendak merdeka, jadi kita mesti menghargai­nya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pida 3 Baru, Behor Mentalon, Guar Sanji di sini semalam.

Berkongsi pengalaman ketika berkhidmat dalam tentera sejak 1970 hingga 1988, Haris memberitahu, berhadapan detik cemas ketika helikopter Nuri dinaiki mereka ditembak komunis ketika terbabit dalam operasi di Gubir, Sik, Kedah pada April 1976 masih kekal diingatannya, apabila ramai dalam kalangan rakannnya turut terkorban.

Dia masih ingat bagaimana helikopter yang membawa mereka dihujani peluru di sempadan Malaysia-Thailand pada masa itu.

“Kami berada di Gubir dalam tempoh tertentu, apabila ditugaskan untuk membersihkan kawasan itu daripada ancaman komunis. Ketika diserang komunis, hari itu merupakan hari terakhir kami di sana (Gubir) sebelum pulang ke Kem Sungai Udang, Melaka.

“Segalanya berjalan lancar ketika helikopter mendarat untuk mengambil kami tetapi tiba-tiba ditembak ketika berlepas. Alhamdulillah kami selamat, nya­wa kami masih panjang.

“Bagaimanapun, ada anggota keselamatan lain maut pada hari yang sama apabila sebuah lagi helikopter dinaiki mereka terhempas ditembak komunis. Ada juga rakan saya yang terkorban terpijak jerangkap samar,” kongsi bapa kepada 11 orang anak itu sambil menunjukkan gambar-gambar lama.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Haris adalah ketika dia bersama anggota lain berjalan sejauh ratusan kilometer dari Raub, Pahang menuju ke Slim River, Perak melalui Banjaran Titiwangsa.

“Siang dan malam kami berjalan, melalui banjaran dan hutan tebal. Pada masa itu kami menjejaki dan memburu komunis yang bersembunyi di sepanjang hutan berkenaan,” katanya.

Turut berkongsi kisah sama, bekas anggota Renjer, Prebet bersara Mohamed @ Mohd Yasin Hasan,71, yang masih ingat bagaimana helikopter Nuri ditembak jatuh komunis hingga mengorbankan 11 pegawai termasuk anggota.

Meskipun peristiwa tersebut sudah 44 tahun berlalu, namun wajah-wajah mereka yang terkorban dalam tragedi itu masih segar dalam ingatan Mohd. Yasin.

“Saya antara yang sepatutnya menaiki helikopter tersebut pa­da hari itu, namun diarah melakukan tinjauan terlebih dahulu di kawasan terbabit dan anggota lain yang menaiki helikopter itu.

“Bukan senang kami bertempur dengan komunis bagi ingin memastikan rakyat hidup aman dan damai,” katanya yang bertugas dari tahun 1967 hingga 1977. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN