Tiga bulan tutup kedai rugi RM45,000 - Utusan Malaysia

Tiga bulan tutup kedai rugi RM45,000

kedai
ABDUL Halim Alwi melayan para pelanggan di kedainya di Jalan Sekolah Derma, Kangar, Perlis baru-baru ini.- UTUSAN/ MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia ternyata memberi kesan kepada sesiapa sahaja, termasuk peniaga kedai makan yang terpaksa menghentikan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

Sepanjang tempoh PKP selama lebih tiga bulan itu, boleh dikatakan masing-masing buntu memikirkan nasib diri, sama ada mampu bertahan atau sebalik­nya jika ingin meneruskan kembali perniagaan selepas ini.

Bagi Abdul Halim Alwi, pemilik Lyboy Corner yang terletak di Jalan Sekolah Derma di sini, dia tekad untuk bangkit memulakan kembali operasi dengan­ semangat baharu meskipun mengalami kerugian lebih RM45,000 sepanjang tempoh tiga bulan ‘tutup kedai’.

Dalam usaha melakukan ‘pecutan’ bagi menampung kerugian sebelum ini, Abdul Halim, 54, mempertingkatkan promosi kedai makan miliknya itu dalam media sosial selain menambah pelbagai menu baharu bagi menarik kunjungan pelanggan ke kedainya.

“Memang terasa impak apabila tiga bulan tak buka kedai dalam tempoh PKP. Sebelum ini dalam sebulan, saya memperolehi pendapatan kira-kira RM15,000 dengan anggaran tiga bulan sebanyak RM45,000.

“Apabila kerajaan memberi kelonggaran melaksa­nakan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dan membenarkan kembali kedai makanan dibuka, saya terus mengambil beberapa inisiatif untuk bangkit semula.

“Antaranya saya tambah lima menu baharu menjadi lapan untuk set sarapan pagi. Menu masakan panas juga ditambah selain mempertingkatkan promosi dalam media sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, antara menu baharu diperkenalkan itu adalah Scramble eggs with sausage, Omelette with sausage, Jumbo sausage set dan Lyboy special.

Dia juga meletakkan menu itu di aplikasi Food Panda ba­gi membolehkan orang ramai me­mesan makanan dalam talian.

“Sememangnya sukar apabila kita tidak dapat beroperasi sebelum ini, tetapi kita tidak boleh berputus asa sebaliknya perlu bangkit mencari semula rezeki,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN