Sertai UMNO sebelum PRU-15 - Utusan Malaysia

Sertai UMNO sebelum PRU-15

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran menyertai UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana calon Perdana Menteri lazimnya mewakili parti yang dominan dan menguasai sejumlah kerusi dalam Dewan Rakyat.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, menjadi lumrah konvensyen politik mana-mana negara Perdana Menteri mestilah datang daripada parti menguasai jumlah kerusi Parlimen kerana ia menentukan kestabilan politik tanah air.

Bagaimanapun katanya, perkara itu terpulang kepada ‘tuan punya badan’ (Muhyiddin) dan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ahli-ahli UMNO.

“Ikut adat politik, parti yang banyak kerusi kena calonkan siapa Perdana Menteri. Ini adalah adat dalam mana-mana negara. Namun, kalau Perikatan Nasional (PN) nak sokong juga Muhyiddin selepas pilihan raya akan jadi masalah kerana kedudukan Bersatu tidak kuat dan memang tidak kuat pun.

“Namun apa Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan) sebut hanya berlaku jika Muhyiddin masuk UMNO sebelum pilihan raya dan terpulang kepadanya untuk mengetepikan kemarahan kepada UMNO sebab tidak sokong beliau ketika dipecat, lagi satu sama ada beliau dapat mempertahankan diri sebagai Perdana Menteri dan Presiden dalam pemilihan parti pada tahun depan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas kenyataan Mohamad dalam temu bual dengan sebuah portal yang dipetik sebagai berkata, UMNO boleh mengubah keputusan pemecatan Muhyiddin pada 2016 dan menerimanya semula ke dalam parti itu.

Ketika ditanya mengapa hanya nama Muhyiddin disebut sebagai calon Perdana Menteri untuk menghadapi pilihan raya akan datang, Nur Nazlan menjelaskan, ia sebenarnya untuk menyelesaikan kebuntuan politik di samping nama pemimpin tersebut popular pada waktu ini.

“Walaupun dijangka kita memperoleh majoriti dalam pilihan raya, tetapi kita belum selesaikan siapa yang perlu jadi Perdana Menteri.

“Tengok siapa yang popular ketika ini, jawapannya adalah Muhyiddin sebab beliau Perdana Menteri, dia ada kelebihan dan popular. Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Perdana Menteri) dan Ahmad Zahid pun tidak sepopular beliau. Ini saya cakap berdasarkan situasi semasa jika pilihan raya dalam masa terdekat, kalau tahun depan lain pula cerita, kena tengok calon lain dan ia mesti datang daripada UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berpendapat PN boleh mengalami nasib seperti Pakatan Harapan (PH) kerana gabungan Barisan Nasional (BN), Bersatu, Pas dan Gabungan Parti Sarawak hanya dibentuk bagi menghadapi pilihan raya dan sekali gus tidak memberi isyarat positif untuk pentadbiran kerajaan kelak.

“Dalam PH, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mereka boleh bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi apa jadi selepas pilihan raya dan jadi kerajaan, nampak ada perbezaan dan kemudian berpecah.

“Macam PN yang dibentuk untuk hadapi pilihan raya, ciri-ciri sama macam PH seperti ‘orang tidur sekatil dan sebantal tetapi mimpi lain-lain’,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.