KUALA LUMPUR: Lapan rakyat Malaysia antara jutaan umat Islam dari seluruh dunia yang bertuah apabila permohonan mereka diterima untuk mengerjakan ibadah haji, hujung bulan ini.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Alauddin Mohd. Nor berkata, kesemua yang terpilih itu terdiri dari kalangan pelajar dan pekerja yang berada di Arab Saudi.
“Setakat ini permohonan lapan rakyat Malaysia diterima untuk menunaikan haji dan ia dimaklumkan sendiri oleh bakal jemaah haji itu kepada pihak konsulat.
“Daripada jumlah itu, tiga jemaah haji lelaki dan lima wanita. Bagaimanapun, tiada kakitangan dari Kedutaan Besar dan Konsulat Jeneral yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kerajaan Arab Saudi bulan lalu memutuskan untuk mengehadkan bilangan jemaah haji yang dibenarkan menunaikan ibadah itu.
Kebenaran hanya kepada penduduk yang telah berada di negara tersebut.
Keputusan pertama kali mengecualikan jemaah haji dari luar Arab Saudi itu diambil susulan usaha negara tersebut mengekang penularan wabak Covid-19.
Tahun lalu, seramai 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia tiba di Arab Saudi bagi melaksanakan ibadah tersebut.
Alauddin berkata, kesemua jemaah haji terpilih itu telah melalui tapisan ketat dan teliti sebelum dimaklumkan pemilihan mereka oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Katanya, kesemua warga a sing di Arab Saudi yang berminat mengerjakan haji perlu mendaftarkan diri di laman web Kementerian Haji dan Umrah dalam tempoh yang ditetapkan.
“Pelbagai saringan ketat dilakukan kerajaan Arab Saudi untuk menentukan mereka terpilih menunaikan haji.
“Mereka yang terpilih telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut namun pihak konsulat masih belum mengetahui jumlah sebenar dan maklumat lanjut jemaah haji Malaysia yang dibenarkan kerajaan Arab Saudi,” ujarnya. – UTUSAN