Keteguhan jiwa, hati Neelofa - Utusan Malaysia

Keteguhan jiwa, hati Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEKAD wanita ini menyelusuri lautan seni yang penuh ombak dan badai tersendiri. Bukan mudah, namun bahtera pemilik nama yang membawa maksud bunga biru ini berjaya merentasi setiap liku dan cabaran.
Menongkah persepsi dan tanggapan segelintir netizen, pengacara dan pelakon paling popular, Neelofa berdiri teguh tanpa beranjak seinci. Dia tegar dalam melakar kanvas seninya supaya penuh warna-warni.
Selayaknya bergelar mogul fesyen dan figura hebat seni tempatan, Neelofa membuktikan mahkota yang disandang tatkala memenangi Dewi Remaja 2009/2010 bukan sesuatu yang sia-sia. Segalanya direncana sebaik mungkin.
Bersua bicara dengan wanita ini, setiap kata dibingkaikan dengan cukup cermat. Bukan mudah untuk dia menyusun waktu memberi peluang kepada wartawan untuk berkongsi cerita. Kesibukan jelas merantai pergerakannya.
Pernah juga tergelincir tatkala melangkah, namun wanita berusia 31 ini sentiasa belajar daripada setiap kesilapan. Dia tidak mendabik dada, malah sentiasa mengakui kegagalan adalah satu proses pembelajaran.
“Macam-macam sudah saya lalui. Bukan mudah untuk meraih apa yang dimiliki. Cabarannya bukan semudah mematahkan sebatang pensel. Air mata sudah beberapa kali menyentuh pipi, namun itu semua pengalaman.
“Pendatang baharu silih berganti, namun kita yang sudah lama bertapak harus sentiasa seiring dengan masa. Tidak boleh berbangga dengan kejayaan yang diraih. Itu semua sementara cuma.
“Berjaya atau tidak, bergantung kepada usaha dan kecekalan hati. Kalau hati tak tegar, jangan bermimpi untuk berdiri. Tanyalah mana-mana anak seni pun, mereka akan berkata perkara sama,” jelas pelakon Pilot Cafe ini.

Berpegang teguh kepada keutuhan hubungan kekeluargaan, Neelofa bersyukur dikelilingi keluarga yang sentiasa memberi sokongan tidak kira apa sahaja yang dihadapi. Dia dirahmati dengan kasih sayang dan cinta luhur sejati sebuah institusi keluarga.
Lebih banyak memuhasabah diri sendiri, pengasas dan pemilik empayar hijab, Naelofar Hijab ini mengakui dia juga pernah berdepan dengan tekanan sehingga kemurungan mula memeluk diri. Namun, dia pantas bangkit dan tidak mahu selamanya menekan perasaan sendiri.
“Sokongan keluarga sangat penting. Begitu juga dengan rakan-rakan terdekat. Kita harus bijak memilih dengan siapa harus luahkan masalah. Kita kena bincang dan dengar pendapat orang lain untuk muhasabah diri.
“Paling penting, kita kena kembali mencari Tuhan,”katanya.

Tidak mencari, gembira sendiri

Tidak mudah mengorek cerita daripada wanita anggun kecil molek ini. Setiap soalan harus disusun supaya tidak melanggar prinsipnya.
Cuba memancing di lautan dalam hatinya, soalan lebih terarah kepada percintaan dan impian berumah tangga. Pada usia 31 tahun, pastinya Neelofa memiliki cita-cita memacak tiang masjid cintanya sendiri.
Tidak pernah merasakan status diri sebagai tembok untuk mencari cinta, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi ini terbuka dan menerima siapa sahaja lelaki yang tertulis bakal memimpin dia ke syurga Ilahi.
“Sejujurnya, saya tidak pernah meletakkan satu had usia untuk berkahwin. Saya terbuka dan sentiasa berserah kepada percaturan jodoh. Saya percaya susunan Tuhan itu akan sampai juga satu hari nanti.
“Tapi buat masa sekarang, saya tidak mencari. Masih sendiri namun tetap dipeluk cinta Illahi, keluarga dan sahabat.
“Memang ada yang cuba kenalkan saya dengan ramai lelaki, namun mungkin belum sampai jodohnya,” ujar anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan.
Tatkala disogok soalan adakah dia kini sedang hangat bercinta dengan Pencetus Ummah (PU) Rizz, Neelofa hanya tergelak kecil seraya menjawab.
“Dia hanya kenalan yang terlibat dalam pertubuhan saya. Tiada istilah bercinta pun,” katanya.

Jihad kecil Neelofa

Bakal tampil dengan program sendiri, Next To Neelofa, nada bekas pengacara MeleTop ini jelas bertukar teruja apabila bercerita tentang program baharu yang menemui peminat setiap Khamis, 9 malam bermula 23 Julai.
Mengakui timbul perasaan gusar dan gemuruh, Neelofa segera menolak ke tepi semua itu kerana percaya Next To Neelofa bakal memberi seribu satu manfaat kepada penonton. Apatah lagi, figura yang dijemput sebagai panel bukan calang-calang pencapaiannya.
“Program ini adalah idea dan konsep saya sendiri. Saya mahu satu program santai namun mampu memberi inspirasi kepada penonton. Oleh itu, saya menjemput golongan usahawan, selebriti dan kerabat diraja untuk berkongsi cerita.
“Setakat ini, kita belum ada satu program seperti Next To Neelofa. Sisi berbeza ditampilkan. Saya mahu sesuatu yang segar dan panelnya juga selesa untuk berkongsi pengalaman secara mendalam. Tidak berbual kosong.
“Alhamdulillah, penerimaan penonton untuk episod pertama sangat positif. Saya bersyukur dan berharap agar mereka dapat belajar sesuatu daripada program itu,” katanya.
Alang-alang berbicara soal kerjaya, pelakon Suri Hati Mr. Pilot ini melancarkan Pertubuhan Kasih Neelofa sebagai satu titian pahala untuknya saat pulang ke negeri abadi kelak. Namun, niat utamanya adalah membantu mereka yang memerlukan.  – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.